LONDON: Pertarungan yang pernah terkubur akibat masalah kesihatan kini kembali menjadi kenyataan apabila Daniel Dubois dan Joseph Parker bakal berentap untuk merebut kejuaraan heavyweight dalam pertembungan yang dijangka membuka tirai 2027 dengan penuh drama.
Juara dunia heavyweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO), Dubois bakal mempertahankan gelaran buat kali kedua apabila berdepan bekas juara Parker di Co-op Live, Manchester pada 30 Januari depan.
Pertarungan itu sepatutnya berlangsung pada Februari 2025, namun terpaksa dibatalkan selepas Dubois yang ketika itu memegang gelaran Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBF) menarik diri pada minggu pertarungan akibat masalah kesihatan.
Atlet berusia 29 tahun itu kini hadir dengan keyakinan tinggi selepas memenangi dua pertarungan terakhirnya menentang Fabio Wardley, selain pernah menumbangkan Anthony Joshua di Stadium Wembley pada 2024.
Frank Warren menyifatkan pertarungan itu sebagai pembuka tirai 2027 yang dinanti-nantikan, sambil percaya Dubois kini berada pada tahap terbaik dalam kariernya.
“Pertarungan heavyweight ini bakal membuka tirai 2027 dengan aksi yang cukup hebat, ini pertarungan yang dinanti-nantikan semua pihak dan saya teruja kerana ia akhirnya dapat direalisasikan.
“Dubois kini berada di kemuncak prestasinya dan apabila dia berada pada tahap terbaik, sukar untuk membayangkan ada petinju yang mampu menewaskannya,” katanya.
Bagaimanapun, Warren mengakui Parker juga mempunyai peluang besar untuk membuktikan kemampuannya selepas sekian lama berhasrat kembali bergelar juara dunia, sekali gus menjadikan pertembungan itu lebih menarik.
“Joseph sejak sekian lama berjanji untuk kembali bergelar juara dunia dan kini dia mendapat peluang itu,” katanya. – AGENSI











