LONDON: Bekas juara heavyweight dunia, Tyson Fury mahu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiringinya ke gelanggang menjelang pertarungan berprofil tinggi menentang Anthony Joshua di Stadium Principality, Cardiff pada 11 Disember ini.
Fury, 38, berharap Trump sudi menjadi sebahagian daripada kemasukannya ke gelanggang di hadapan kira-kira 80,000 penonton, selepas kedua-duanya bertemu pada acara UFC Freedom 250 di Rumah Putih, Jun lalu.
“Saya pasti akan membuat tawaran kepada kawan lama saya dan kita lihat sama ada dia ada kelapangan.Mungkin sukar kerana kedudukannya sekarang sebagai Presiden Amerika Syarikat,” katanya.
Fury sebelum ini pernah memakai topi tertera tulisan “Donald Trump for Prime Minister” selepas sekatan perjalanannya ke AS ditarik balik oleh Trump.
Bagaimanapun, perhatian Fury bukan hanya tertumpu kepada Joshua apabila jaguh Britain itu menganggap pertarungan berkenaan sekadar persediaan untuk misi membalas dendam terhadap Oleksandr Usyk.
Fury yang dua kali tewas kepada Usyk mahu berdepan semula petinju Ukraine itu dalam pertarungan trilogi, malah mencadangkan New York sebagai lokasi pilihan selepas pertemuan dengan Joshua.
“Saya tiada niat untuk bersara selepas Joshua. Saya gunakan dia ini sebagai pemanas badan untuk Usyk.
“Saya boleh jamin pada malam itu, apabila saya menumbangkannya, dia sendiri tidak tahu pukul berapa,” katanya sambil memberi amaran kepada Joshua.
Fury turut mendakwa dirinya kini berada pada tahap terbaik selepas menjalani persiapan agresif tahun ini, termasuk 12 pusingan menentang Arslanbek Makhmudov dan tujuh pusingan dengan Mariusz Wach.
“Tahun ini akan menjadi tahun paling aktif buat saya sejak 2018. Jangan sembunyikan apa-apa, saya sedang berada pada tahap terbaik.Saya rasa hebat. Saya baru 38 tahun,” katanya.-AGENSI











