TAIPING: Pihak berkuasa digesa menjelaskan mengapa memorandum persefahaman (MoU) pemindahan tiga ekor gajah, Dara, Amoi dan Kelat, ke Jepun diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, kandungan MoU itu perlu didedahkan bagi menjawab persoalan orang ramai mengenai urusan pemindahan ketiga-tiga gajah berkenaan ke Zoo Tennoji di Osaka.
“Mereka kata itu hanyalah perjanjian antara zoo dengan zoo. Apalah rahsia besar sangat sampai dokumen antara zoo dan zoo perlu diklasifikasikan di bawah OSA?” katanya kepada pemberita selepas himpunan Demo Aman Dara, Amo dan Kelat di perkarangan Zoo Taiping hari ini.
Choo Seong berkata, desakan supaya kandungan MoU didedahkan antara perkara yang dibangkitkan menerusi memorandum yang diserahkan pada himpunan itu.
Beliau turut meminta penjelasan sama ada klasifikasi dokumen berkenaan memberi kesan kepada akses pihak berkuasa terhadap MoU dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung urusan pemindahan gajah tersebut.
Dalam pada itu, katanya, kebimbangan mengenai kesihatan dan kebajikan Dara, Amoi dan Kelat sudah dibangkitkan sejak awal April, namun beliau masih belum mendapat penjelasan terperinci mengenai tindakan yang diambil.
Choo Seong turut menggesa pihak berkaitan menyatakan pendirian berhubung kebajikan tiga ekor gajah itu serta menjelaskan langkah susulan yang akan diambil.
Katanya, isu MoU berkenaan turut dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong, namun jawapan bertulis belum menjawab persoalan itu secara terperinci.
“Ahli-ahli Parlimen berhak mendapatkan jawapan daripada setiap isu yang dibangkitkan oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN











