Elak berhutang demi majlis kahwin – CAP

Elak berhutang demi majlis kahwin – CAP

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga diingatkan supaya tidak berbelanja di luar kemampuan semata-mata mahu mengadakan majlis perkahwinan mewah sehingga dibebani hutang selepas berkahwin.

Presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pengurusan kewangan yang lemah boleh mencetuskan konflik rumah tangga sehingga membawa kepada perceraian.

Menurutnya, pasangan perlu mengutamakan kestabilan kewangan keluarga berbanding kemewahan majlis perkahwinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenapa perlu berbelanja besar semasa mengadakan majlis perkahwinan? Cukuplah dengan majlis perkahwinan yang serba sederhana yang dapat menjimatkan wang yang boleh pula disimpan dan digunakan untuk perkara yang lebih penting pada masa depan.

“Hakikatnya membelanjakan wang yang banyak untuk majlis perkahwinan bukanlah satu kemestian. Sebaliknya, pasangan digalakkan untuk bersederhana dan berbelanja sekadar yang termampu,” katanya hari ini.

Terdahulu, Ketua Hakim Syarie Selangor, Nenney Shuhaidah Shamsuddin memaklumkan bahawa sebanyak 54,506 kes perceraian pasangan Islam didaftarkan di seluruh negara dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, masalah kewangan dikenal pasti sebagai antara punca utama perceraian tersebut.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, kemudahan kredit dan pengaruh iklan turut mendorong pasangan berbelanja di luar kemampuan sehingga terperangkap dalam berhutang.

Katanya, pendapatan tinggi juga bukan jaminan seseorang itu bebas daripada masalah kewangan sekiranya gagal mengurus perbelanjaan dengan baik.

“Oleh itu, kebahagiaan dan kestabilan rumah tangga bukanlah bergantung semata-mata pada jumlah wang yang dimiliki tetapi lebih kepada kebijaksanaan pasangan dalam mengurus kewangan keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pasangan supaya menyediakan belanjawan keluarga, mengamalkan sikap berjimat cermat dan mengelakkan perbelanjaan tidak perlu.

Katanya, pasangan juga perlu berbincang dan membuat keputusan bersama dalam soal kewangan bagi mengelakkan pertikaian yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini