LONDON: Seorang pekerja badan kebajikan berketurunan British-Bangladesh dijatuhi hukuman penjara dua tahun setengah selepas didapati bersalah mencuri hampir £92,000 (RM500,709).
Tameem Choudhury, 29, didapati bersalah mencuri daripada pertubuhan Breast Cancer Now bagi membiayai majlis perkahwinan dan percutian bulan madunya.
Menurut Polis London, Tameem mengambil kesempatan atas posisinya dalam pasukan kewangan badan kebajikan itu untuk memindahkan pembayaran yang sepatutnya diterima organisasi tersebut ke dalam akaun bank peribadinya, memetik laporan The Telegraph.
Tameem, yang berasal dari Hackney, timur London, dihukum penjara oleh mahkamah pada Selasa selepas mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan dan pengubahan wang haram.
Kesalahan itu dilakukan pada Ogos 2023, apabila Tameem memintas wang bayaran balik yang sepatutnya dibayar oleh The Royal Marsden NHS Foundation Trust kepada Breast Cancer Now.
Pihak polis memaklumkan bahawa Tameem menggunakan akaun e-mel kerjanya untuk menghantar maklumat akaun bank peribadinya kepada The Royal Marsden NHS Foundation Trust.
Wang itu kemudian dipindahkan ke akaun peribadinya dan dalam tempoh beberapa minggu, Tameem telah membelanjakan sebahagian besar daripada dana itu untuk perbelanjaan peribadi.
Menurut pegawai penyiasat, dana yang dicuri itu digunakan bagi menampung kos perkahwinan dan bulan madu, membeli barangan mewah serta membayar hutang peribadi.
Antara barangan yang dibelinya termasuk sebentuk cincin jenama Alexander Brown bernilai £14,000 (RM76,200). – AGENSI










