PETALING JAYA: Empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan pelbagai perubahan dalam aspek ekonomi, kebajikan dan pembangunan negara, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap hala tuju Kerajaan.
Pelbagai inisiatif termasuk pelarasan gaji penjawat awam, peningkatan gaji minimum, penambahbaikan kemudahan pendidikan serta kemajuan pelaksanaan tuntutan pembangunan yang sekian lama tertangguh antara perkembangan yang mendapat perhatian rakyat.
Bagaimanapun, rakyat berharap pencapaian itu tidak terhenti setakat pelaksanaan dasar, sebaliknya disusuli langkah lebih menyeluruh bagi menangani cabaran kos sara hidup, meningkatkan mutu perkhidmatan awam dan memastikan pembangunan dinikmati semua lapisan masyarakat.
Bagi penjawat awam, Al Ronzi Fedi, 27, kerajaan perlu mengekalkan momentum pembaharuan, khususnya dalam sektor pendidikan dan usaha memperkukuh ekonomi negara.
Katanya, penyelesaian projek sekolah yang tertangguh sejak 10 hingga 15 tahun lalu serta penambahbaikan kemudahan asas menunjukkan perkembangan positif yang perlu diteruskan.
“Saya melihat banyak perubahan positif, termasuk projek sekolah yang tertangguh sejak sekian lama kini mula disiapkan, selain kemudahan seperti tandas, meja, kerusi dan blok bangunan turut dinaik taraf.
“Pada saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberikan peluang untuk terus menerajui negara bagi penggal seterusnya. Namun, sokongan itu bukan secara membuta tuli kerana kepimpinan kerajaan perlu terus dinilai berdasarkan hasil dan perubahan yang dibawa kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penjawat awam, Fatimah Zuraidah Salleh, 56, berharap usaha meningkatkan kebajikan penjawat awam melalui pelarasan gaji dapat diteruskan, selain penambahan tenaga kerja dalam sektor kesihatan diberi keutamaan.
Katanya, peningkatan pendapatan memberi manfaat secara langsung kepada penjawat awam, namun kekurangan petugas kesihatan masih perlu ditangani bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada masyarakat tidak terjejas.
“Pelarasan gaji ini satu perubahan yang sangat bermakna kerana kami dapat merasai sendiri manfaatnya. Saya berharap usaha meningkatkan kebajikan penjawat awam terus menjadi keutamaan kerajaan.
“Pada masa sama, pengambilan lebih ramai petugas perlu diberi perhatian supaya kekurangan kakitangan tidak terus menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.
Isu kekurangan tenaga kerja itu turut dapat dilihat apabila sebanyak 13,072 jawatan doktor di bawah Kementerian Kesihatan masih belum diisi setakat 30 Jun lalu, termasuk 1,660 jawatan pakar.
Bagi pekerja sektor swasta, Aisyah Adawiyah Khairul Anuar, 26, berharap kadar gaji minimum terus disemak supaya seiring dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 daripada RM1,500 sebelum ini sedikit sebanyak membantu pekerja, namun peningkatan harga barang dan keperluan asas masih memberi tekanan kepada kewangan bulanan.
“Walaupun kenaikan RM200 mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, bagi pekerja yang bergantung pada gaji bulanan, jumlah itu tetap bermakna untuk menampung keperluan harian.
“Saya berharap lebih banyak inisiatif dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Nur Aqmal Sahudi, 31, berharap kemajuan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diteruskan sehingga tuntutan berkaitan hak Sarawak dapat diselesaikan sepenuhnya.
Katanya, penyerahan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak, pengiktirafan agensi teknikal negeri untuk melaksanakan projek pembangunan Persekutuan serta peningkatan pemberian khas menunjukkan perkembangan positif dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri itu.
Bagaimanapun, Nur Aqmal berharap kerajaan memberi perhatian terhadap tuntutan autonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta pengagihan hasil yang lebih adil kepada Sarawak.
“Jika dibandingkan dengan beberapa pentadbiran terdahulu, saya melihat kerajaan sekarang menunjukkan kemajuan lebih ketara dalam menyelesaikan beberapa tuntutan MA63 yang telah lama dibincangkan.
“Namun, kemajuan itu perlu diterjemahkan melalui pelaksanaan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, bukan sekadar pengiktirafan dalam ucapan atau pengumuman,” katanya.
Bagi penjaja, Abdul Aziz Yahya, 60, berharap bantuan kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah tidak dihentikan kerana tekanan kos sara hidup masih menjadi cabaran kepada peniaga kecil.
Katanya, pendapatan hasil jualan selepas lebih 30 tahun berniaga di Pasar Seni kini semakin sukar menampung keperluan harian berbanding dahulu.
“Perdana Menteri ini benar-benar menteri yang terbaik bagi saya. Apa yang sudah dibuat sekarang perlu diteruskan kerana kita sudah mula nampak hasilnya.
“Golongan B40 masih memerlukan bantuan kerajaan. Saya berharap bantuan-bantuan itu tidak dihentikan kerana kehidupan rakyat di bawah ini memang susah,” katanya. – UTUSAN











