PETALING JAYA: Kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dan tidak terburu- buru menerima cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) tanpa Barisan Nasional (BN).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hubungan kerjasama antara BN dan PH kini lebih profesional dan bertanggungjawab dalam mengendalikan pentadbiran Kerajaan Perpaduan walaupun wujud ketegangan antara kedua-dua parti sebelum ini.
Katanya, kerjasama BN dengan PH juga perlu dilihat daripada sudut persaingan mendapatkan kerusi di kawasan majoriti Melayu yang jumlahnya terhad.
“Tidak mustahil nanti, BN dan UMNO khususnya akan menyedari bahawa dalam kepentingan politik yang melibatkan jumlah kerusi Parlimen mereka akan lebih selamat serta berpeluang menambah kerusinya jika terus bekerjasama dengan PH.
“Ini berbeza sekiranya BN dan UMNO menjalinkan kerjasama dengan Pas atau Parti Wawasan Negara (Wawasan). Sebabnya semuanya parti Melayu akan saling bersaing sesama sendiri di kerusi Parlimen majoriti Melayu yang terhad bilangannya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan agar PH tidak bekerjasama dengan BN bagi menghadapi PRU16.
Menurutnya, perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Presiden PH bagi mendapatkan keputusan bersama.
Dalam pada itu Hassan berkata, sekiranya BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), parti-parti Melayu itu berdepan kemungkinan bersaing sesama sendiri di kawasan berkenaan.
“UMNO-BN akan berhadapan realiti dalam perundingan kerusi Parlimen di mana ground rule (peraturan asas) sedia ada iaitu kerusi Parlimen yang telah dimenangi oleh Pas dan Wawasan semasa PRU15 tidak boleh dirunding,” ujarnya.
Hassan dalam masa yang sama berkata, BN perlu mengambil kira prinsip status quo dalam rundingan kerusi, iaitu kerusi Parlimen yang dimenangi Pas pada PRU15 tidak boleh dirunding semula.
“Status quo incumbency kekal. Dalam keadaan sedemikian, UMNO-BN akan menyedari keadaannya lebih baik dan banyak kerusi boleh ditandingi dalam PRU16, termasuk di negeri-negeri state government 4 (SG4) jika UMNO-BN berganding dengan PH,” katanya.
Hassan turut mengingatkan PH supaya mengambil iktibar daripada perkembangan politik menjelang PRU15 apabila UMNO pada awalnya bekerjasama dengan Pas sebelum akhirnya membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi PN. – UTUSAN











