LONDON: Seorang perenang jarak jauh Britain, Lewis Pugh mempertaruhkan nyawanya meredah Selat Hormuz yang bergolak akibat konflik, termasuk berdepan ancaman kebakaran minyak dan periuk api, dalam misi renang terbaharunya.
Pugh melakukan renangan selama tiga hari di perairan selat berhampiran pantai Oman bagi meningkatkan kesedaran mengenai kemusnahan alam sekitar akibat peperangan.
“Biasanya saya berdepan dengan cabaran alam semula jadi, tetapi dalam renangan kali ini, semua risiko berpunca daripada manusia.
“Di udara, ada dron dan jet pejuang. Di permukaan air, pencemaran minyak manakala di dasar laut, terdapat periuk api,” kata perenang jarak jauh berusia 56 tahun itu kepada AFP dalam temu bual di London pada Isnin.
Katanya, setiap kali menoleh dan mengangkat kepala keluar dari air untuk bernafas,beliau dapat melihat konvoi kapal tangki minyak, termasuk beberapa yang terbakar, di satu arah. Di arah bertentangan pula, terdapat hidupan liar seperti helang laut dan ikan lumba-lumba.
“Saya tidak akan melupakan perbezaan ketara antara dua pemandangan itu,” katanya.
Selat Hormuz menyaksikan serangan berulang terhadap kapal sejak serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada Februari mencetuskan perang di Asia Barat, sekali gus membawa kepada sekatan berbalas di laluan perairan penting itu.
Pada hari pertama renangan sejauh 15 kilometer minggu lalu, sebuah kapal tangki minyak yang berada hanya beberapa kilometer daripadanya terkena objek peluru kira-kira setengah jam selepas beliau memulakan renangan.
“Saya sedang merendam kepala di dalam air apabila terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat. Saya masih ingat mengangkat kepala dan terfikir, saya perlu keluar dari sini sekarang,” kata Pugh, yang juga penaung lautan bagi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Pada hari kedua, sebuah kapal tangki bernama Tara Gas pula diserang sehingga bola api menjulang ke udara. Katanya, air di sekeliling kapal itu terbakar dan bau bahan kimia begitu kuat.
Pugh memberitahu AFP, seorang kelasi warga India yang mendakwa berada di atas kapal itu ketika kejadian kemudian menghubunginya.
“Ia sangat menakutkan apabila terperangkap di tengah-tengah peperangan ini. Semua pihak, daripada kelasi dan pasukannya hinggalah ikan lumba-lumba serta penyu di laluan perairan itu, turut terkesan akibat konflik berpanjangan berkenaan.
“Peperangan meninggalkan kesan yang sangat lama terhadap manusia. Begitu juga terhadap alam semula jadi. Kita benar-benar perlu menghentikan pertempuran ini. Ia sudah berlarutan terlalu lama.
“Tiada pihak yang menang dalam peperangan ini. Tiada jalan untuk mencapai keamanan berkekalan antara negara jika kita memusnahkan asas kehidupan di bumi,” tegasnya.-AFP











