TEHERAN: Mahkamah Iran menuntut Amerika Syarikat (AS) membayar ganti rugi sebanyak AS$290 bilion (RM1.2 trilion) berhubung pelbagai tindakan negara itu terhadap Iran sejak beberapa dekad lalu, menurut seorang pegawai kehakiman.
Ketua Pusat Peguam Kehakiman, Hassan Abdolianpour berkata, mahkamah domestik Iran sudah mengeluarkan keputusan yang menetapkan jumlah ganti rugi berkenaan perlu dibayar oleh AS.
“Kami telah memperoleh keputusan mahkamah domestik yang menetapkan ganti rugi sebanyak AS$290 billion (RM1.2 trilion) terhadap pihak AS,” katanya menurut laporan televisyen kerajaan.
Beliau turut memaklumkan beberapa saman telah difailkan terhadap negara-negara Arab Teluk atas dakwaan membenarkan wilayah mereka digunakan oleh AS untuk melancarkan serangan terhadap Iran.
Menurut televisyen kerajaan, tuntutan ganti rugi itu merangkumi tindakan AS terhadap Iran sejak beberapa dekad lalu.
Perang di Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu apabila AS dan Israel melancarkan gelombang serangan yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke beberapa negara di rantau itu, dengan alasan menyasarkan pangkalan serta aset ketenteraan AS dan Israel di negara berkenaan.
Memorandum persefahaman (MoU) Islamabad yang ditandatangani AS dan Iran pada Jun lalu bagi membuka laluan kepada perjanjian damai turut mengandungi klausa yang menetapkan Washington bersama rakan serantaunya perlu merangka pelan bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion (RM1.23 trilion) bagi tujuan pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Iran.
Selain itu, Iran berdepan sekatan ekonomi ketat oleh AS sejak beberapa dekad lalu, terutamanya berkaitan program nuklearnya.-AFP











