FINAS mahu perkenal kategori Filem ASEAN dalam FFM

FINAS mahu perkenal kategori Filem ASEAN dalam FFM

AZMIR (tiga kiri) bersama Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil (tengah) hadir pada Festival Filem Malaysia ke-35 di Istana Budaya. Turut kelihatan, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, (empat kiri) dan Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac (lima kanan). - BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berhasrat memperkenalkan kategori khas bagi filem ASEAN dalam Festival Filem Malaysia (FFM) sebagai langkah memperluas pengiktirafan festival itu ke peringkat serantau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata cadangan berkenaan sedang dibincangkan bersama beberapa negara ASEAN termasuk Indonesia, Singapura dan Filipina, dengan harapan Malaysia dapat menjadi antara peneraju dalam menghubungkan industri perfileman rantau ini.

Beliau berkata, idea itu bukan perkara baharu sebaliknya pernah dibincangkan sejak 2015, termasuk cadangan membawa juri antarabangsa atau mewujudkan kategori khas bagi filem luar negara dalam FFM.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita boleh mulakan dengan satu kategori untuk filem antarabangsa atau ASEAN, saya fikir negara-negara lain yang telah kita bincangkan mungkin akan menyusul dengan pendekatan sama,” katanya ketika ditemui selepas FFM ke-35 (FFM35) di Istana Budaya, malam tadi.

Beliau berkata, pengenalan kategori itu juga dapat membuka ruang kepada filem tempatan untuk bersaing dan mendapat pengiktirafan lebih luas, selain mengelakkan FFM hanya tertumpu pada lingkungan industri domestik.

“Kita tidak mahu menjadi jaguh kampung sahaja. Jika tidak, kita hanya berada dalam lingkungan domestik. Apabila kita mengiktiraf dan bersaing bersama negara lain, kita boleh bergerak ke arah menjadi hab perfileman serantau,” katanya.

Khadam dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada FFM35 yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya di sini malam tadi selain merangkul sembilan kategori lain, menjadikan keseluruhan 10 trofi dimenangi naskhah itu.

Mengulas mengenai pengiktirafan kepada pelakon Indonesia, Aghniny Haque dalam kategori Anugerah Khas juri menerusi filem sama, Azmir berkata, keputusan itu dibuat sepenuhnya oleh juri dan FINAS tidak campur tangan dalam proses penjurian.

Katanya juri memberikan justifikasi bahawa lakonan Aghniny begitu menyerlah dan wajar diberikan pengiktirafan sebagai pelakon utama filem berkenaan.

Azmir juga menyifatkan Khadam sebagai karya yang mempunyai pakej lengkap dari segi pengarahan, jalan cerita, lakon layar dan persembahan pelakon.

Sementara itu, Shamyl Othman yang turut memenangi Pengarah Terbaik menerusi Khadam, berkata pihaknya tidak meletakkan harapan tinggi ketika menghasilkan filem itu sebaliknya menumpukan pada menghasilkan karya terbaik yang mampu dekat dengan penonton tempatan.

“Kami hanya cuba melakukan yang terbaik. Apabila filem ini ditayangkan dan mendapat sambutan positif, kami berasa bangga kerana cerita ini dapat menyentuh hati penonton Malaysia. Kami juga bersyukur apabila ia mendapat pengiktirafan juri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini