KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengarahkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) merombak sepenuhnya jawatankuasa yang meneliti permohonan bagi memastikan tiada lagi kewujudan ‘kartel’ dalam industri perfileman negara.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting berikutan terdapat pegawai atau individu yang terlalu lama memegang jawatan tertentu sehingga mewujudkan sikap-sikap tidak disenangi penggiat industri.
Katanya, arahan itu telah dikeluarkan beberapa bulan yang lepas.
“Usaha dari awal kita adalah untuk memecahkan budaya yang ada selama ini.
“Banyak organisasi apabila personel itu terlalu lama di kedudukan sama, ia akan membentuk sikap yang tidak disenangi oleh industri.
“Sebab itu saya minta jawatankuasa yang meneliti permohonan dirombak sepenuhnya, dan arahan ini telah pun saya beri kepada pihak Finas,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Malaysia, JomPACT! di ibu negara di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Afdlin Shauki mendakwa ada ‘tangan ghaib’ atau kartel yang menentukan kejayaan sesebuah filem tempatan.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Afdlin berkata kartel ini berkuasa menentukan filem mana yang akan mendapat slot tayangan utama dan filem mana yang akan ‘ditenggelamkan’ tanpa promosi dan ruang yang adil.
Katanya Afdlin, kartel itu juga berkuasa untuk menentukan siapa yang akan untung dan siapa yang akan rugi.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, perubahan itu hanya membabitkan jawatankuasa permohonan setakat ini, manakala isu perolehan dan beberapa perkara lain masih dalam penelitian.
Tambah beliau, semangat pembaharuan itu penting untuk mengembalikan keyakinan penggiat industri terhadap pentadbiran Finas serta memastikan kelancaran pembangunan sektor perfileman tanah air. – UTUSAN










