PETALING JAYA: Enam perusahaan berdepan penalti kewangan selepas didakwa terlibat dalam kartel penipuan bida bagi satu tender pembekalan makanan bernilai RM5.7 juta yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Tan Sri Idrus Harun berkata, keputusan cadangan telah dikeluarkan terhadap keenam-enam perusahaan berkenaan atas penglibatan mereka dalam kartel tipuan bida bagi tender pembekalan makanan tersebut.
Katanya, perusahaan-perusahaan itu didapati secara berperingkat telah melanggar Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 4(2)(d) dan 4(3) Akta Persaingan 2010 (Akta 712).
“Hasil siasatan mendapati perusahaan terbabit terlibat dalam perkongsian maklumat serta berpakat dalam penyediaan bidaan mereka.
“MyCC mendapati bahawa perjanjian sedemikian mempunyai objektif untuk menghalang, menyekat atau mengekang persaingan secara ketara berhubung dengan perolehan awam dalam pembekalan makanan mentah, segar dan kering,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, MyCC menegaskan, keputusan cadangan tersebut merupakan dapatan awal dan tidak boleh dianggap sebagai bukti konklusif bahawa perusahaan-perusahaan berkenaan telah melanggar Akta 712.
Jelasnya, perusahaan-perusahaan terbabit telah dimaklumkan mengenai penalti kewangan yang dicadangkan dan diberi peluang mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima keputusan cadangan tersebut.
“Mereka juga boleh membentangkan representasi lisan di hadapan Suruhanjaya pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.
“Keputusan akhir hanya akan dikeluarkan selepas mempertimbangkansemua representasi serta bukti yang diperoleh sepanjang siasatan siasatan,” katanya.- UTUSAN










