Reformasi pasaran lebih penting daripada subsidi

Reformasi pasaran lebih penting daripada subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KARTEL wujud kerana struktur pasaran memungkinkannya, dan ia dimungkinkan kerana polisi. Bererti, pokok pangkal masalah ini berpunca dari pengolahan polisi.

Dikala sesuatu pasaran itu dikuasai oleh sebilangan kecil pemain besar pasaran atau wujud struktur oligopolistik, kebarangkalian mereka untuk “berkartel” atau bersekongkol dan berpakat untuk memanipulasikan harga pasaran adalah tinggi. Dalam pasaran yang bersaing, persekongkolan sukar dilaksanakan.

Pasaran beras adalah sangat berpusat iaitu dikuasai oleh beberapa pengilang dan peniaga. Kerajaan menyedari strategi kartel ini seperti yang tertulis dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975).

Kerajaan merumuskan wujud kartel dalam pasaran beras di mana peniaga melaksanakan hoarding atau sorok beras dan menjualkannya apabila harga meningkat.

Perbezaan harga beras tempatan dan import membolehkan mereka meraih untung besar. Apabila harga beras melonjak, berlaku rusuhan besar dalam negara.

Rusuhan ini mengancam keamanan dan kestabilan politik negara terutama apabila berlaku rusuhan etnik pada 1973. Untuk meredakan situasi, kerajaan mengambil keputusan untuk mewujudkan Agensi Perniagaan Kerajaan melalui Lembaga Padi dan Beras Negara.

Mulai dari titik ini, industri padi dan beras diletak di bawah polisi perlindungan yang komprehensif di mana pasaran dan harga dikawal di setiap tahap rantaian bekalan.

DARI segi struktur, sejarah dan fakta membuktikan bahawa pasaran yang bersaing di mana ramai peserta akan meminimumkan kegiatan kartel.

Namun setelah lima dekad dibawah rejim perlindungan, amalan sorok, kartel, monopoli dan oligopoli di kalangan peserta pasaran padi dan beras masih aktif.

Dalam krisis beras 2008, fenomena sorok, kartel menyerlah lagi. Harga beras dunia mencapai tahap paling tertinggi iaitu AS$ 1,015/tan, April 2008, empat kali ganda harga purata sebelumnya.

Pihak yang melaksanakan kartel telah menyorok beras untuk menagih untung apabila harga berterusan meningkat. Kesan amalan ini menyebabkan ketiadaan beras ST15%.

Lantas kerajaan telah memberi subsidi sejumlah RM3.8 bilion kepada pengilang swasta dan BERNAS untuk mengeluarkan beras tersebut. Namun beras tersebut tidak dijual di pasaran kerana kegiatan sorokan melalui kartel antara pengilang swasta dan BERNAS dan peniaga.

Gelagat ini diulangi apabila krisis beras 2023 berlaku dengan harga beras meningkat kesan sekatan eksport beras oleh kerajaan India. Kegiatan kartel berleluasa melalui sorokan dan mencampur beras tempatan dan import untuk mengaut untung daripada harga yang meningkat.

Kesan kegiatan kartel ini, bekalan beras tempatan tiada dalam pasaran hampir setahun (Mac 2024-Oktober 2025). Rekod ketiadaan bekalan beras tempatan adalah yang paling tinggi dalam sejarah industri makanan Malaysia.

Kes kartel daging ayam juga menunjukkan strategi pasaran yang hampir sama dimungkinkan oleh struktur pasaran yang didominasi hanya beberapa pemain besar.

Nyata, perusahaan monopoli dan oligopoli mampu sengaja mengocak pasaran demi kepentingan mereka tanpa mengira kesengsaraan yang ditanggung oleh petani dan pengguna.

Huraian citra perilaku kartel di atas membuktikan bahawa struktur pasaran oligopoli atau monopoli menggalakkan kartel kerana peluang terbuka tanpa tentangan sesiapa (pesaing) dan tuntutan undang-undang yang mampu menghalangnya.

Untuk menangani kartel, punca yang menyuburkannya perlu ditangani: Struktur, polisi, perundangan dan ketelusan data.

Dari segi struktur, sejarah dan fakta membuktikan bahawa pasaran yang bersaing di mana ramai peserta akan meminimumkan kegiatan kartel. Dalam sesetengah industri sering dihujahkan bahawa perusahaan berskala besar dijunjung sebagai strategi untuk produktiviti dan kos pengeluaran. Iaitu kos pengeluaran per unit adalah rendah.

Walau bagaimanapun, kos sosial struktur ini adalah lebih tinggi. Iaitu menghalang kemasukan pengusaha kecil atau usahawan muda lantas memperkukuhkan kuasa pasaran mereka.

Ini mewujudkan jurang ketidaksamarataan dalam industri iaitu antara pemain besar dan kecil.

Jika kuasa mereka besar dan kukuh, pengalaman daripada negara lain menunjukkan ia melembapkan inovasi. Inovasi tidak diperlukan apabila syer pasaran kukuh dalam tangan.

Pengalaman daripada luar negara juga membuktikan perusahaan besar mampu mempengaruhi pembuatan polisi kerana kedudukan mereka yang berpengaruh dalam pasaran.

Sebagai contoh, untuk memantau harga daging ayam, kerajaan perlu berunding dengan pembekal terbesar di Malaysia untuk meredakan situasi.

Lazimnya, mereka akan memastikan kepentingan mereka dipertamakan dahulu lantas mengenepikan peluang pengusaha kecil.

Berikut adalah strategi untuk mengelakkan kartel. Pertama, kerajaan perlu memastikan pasaran adalah bersaing dengan memantau darjah persaingan pasaran dari semasa ke semasa. Pemantauan dibuat melalui perundangan. Untuk tujuan ini, kerajaan perlu menyediakan kayu ukur mengenai darjah persaingan.

Sebagai contoh, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) menggunakan ukuran Nisbah Pemusatan 4 dan 8 atau Concentration Ratio (CR4 dan CR8) pemain terbesar dalam industri sebagai pengukur persaingan dalam pasaran.

Data mengadili kartel. Untuk mengira nisbah di atas memerlukan data terperinci mengenai latar belakang pernigaan yang terperinci untuk kiraan yang tepat dan bermakna.

Untuk tujuan kos pengeluaran di tahap petani atau pengusaha, pemproses, pemborong dan peruncit perlu disediakan berterusan dari semasa ke semasa.

Data raya mengenai industri adalah keperluan yang mesti dan telus kepada masyarakat. Malaysia perlu mencontohi Jabatan Pertanian AS (USDA) yang melaksanakan kajian kos pengurusan ladang setiap bulan mengikut daerah (county).

Data ini penting untuk meneliti purata margin pemasaran dan memantau prestasi pasaran. Kedua, perundangan mengenai persaingan pasaran perlu diperkukuhkan supaya firma (baik monopoli, oligopoli dan pesaing) yang merosakkan persaingan, amalan tidak etika dan tidak adil dan menangguk untung berlebihan dihukum.

Yang paling strategik adalah pendirian kerajaan supaya memupuk dan menyebelahi perusahaan kecil dan sederhana dan bukan memperkasa syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat besar.

Memperkasakan syarikat berkaitan kerajaan akan hanya memberi keuntungan kepada beberapa eksekutif atasan dan tidak membina kapasiti petani dan pengusaha.

Untuk kelestarian sektor makanan, kapasiti petani dan usahawan kecil dan sederhana perlu diperkasakan. Petani dan usahawan muda adalah “insurans” untuk sektor pertanian dan makanan negara.

Ini bukan mimpi kerana era semasa, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) adalah neutral kepada saiz. India membuktikannya di mana penggunaan aplikasi digital mampu meningkatkan hasil pesawahnya yang rata-rata memiliki sawah kurang dari 0.5 hektar dan India menjadi pengeksport beras terbesar di dunia dalam satu dekad.

Pada masa yang sama menjanakan start-ups usahawan muda pertanian yang memacu rantaian bekalan. Pendek kata, perkasakan petani dan usahawan kecil dan sederhana demi persaingan, kelestarian dan kesamarataan industri. – UTUSAN

PROFESOR Datin Paduka Dr. Fatimah Mohamed Arshad ialah Felo Penyelidik Laboratori Kajian Dasar Pertanian dan Makanan di Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN