Bot terkandas, 27 PATI dicekup - Utusan Malaysia

Bot terkandas, 27 PATI dicekup

PATI yang terkandas ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis, Perlis, untuk tindakan selanjutnya. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cubaan 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini terbongkar apabila bot gentian kaca yang dinaiki mereka terkandas di perairan cetek Pantai Kurung Tengar, Kuala Perlis, ketika air surut semalam.

Lebih mencurigakan, kesemua mereka cuba melarikan diri ke daratan ketika operasi penguatkuasaan dijalankan, namun gagal apabila berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam operasi kira-kira pukul 6 pagi itu, seorang warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai awak-awak bot turut ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kapten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, pihaknya terlebih dahulu menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot yang dikesan bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di kawasan pesisir pantai negeri ini.

Katanya, bot berkenaan kemudian terkandas di kawasan perairan cetek kira-kira 0.7 batu nautika dari Pantai Kurung Tengar ketika air surut.

“Semasa proses tangkapan, PATI telah cuba melarikan diri ke daratan, namun kesemuanya berjaya ditahan.

“Kesemua PATI yang ditahan berusia antara 14 hingga 42 tahun, terdiri daripada 21 warga Bangladesh, empat warga Myanmar dan dua warga Thailand,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Zon Maritim Kuala Perlis di sini hari ini.

Zainudin memberitahu, pihaknya turut menyita sebuah bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang disyaki digunakan untuk membawa masuk migran ke negara ini melalui laluan tidak dibenarkan.

Katanya, kesemua suspek bersama barang kes yang dianggarkan bernilai hampir RM150,000 dibawa ke jeti tahanan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki memasuki atau keluar dari Malaysia melalui laluan tidak dibenarkan tanpa menjalani pemeriksaan imigresen.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta ATIPSOM 2007) berhubung kesalahan yang disyaki melibatkan pengangkutan migran secara tidak sah,” ujarnya.

Zainuddin berkata, seramai 35 PATI telah ditahan Maritim Malaysia di negeri ini sejak awal tahun ini.

katanya, Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan, khususnya di perairan Perlis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini