5,000 penggiat seni ditaja carum Perkeso

5,000 penggiat seni ditaja carum Perkeso

KEMENTERIAN Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menaja caruman dan pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 5,000 penggiat seni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menaja caruman dan pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada 5,000 penggiat seni.

Perkara ini dikuatkuasakan sebagai prasyarat untuk sebarang kelulusan permohonan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata langkah proaktif tersebut amat bertepatan berikutan penggiat seni perfileman berdepan risiko bencana kerja.

Katanya, ia berperanan sebagai penampan terbaik terhadap sebarang kesan luar jangka yang berupaya merencatkan penggiat seni dengan sumbangan kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Finas bersetuju menggariskan prasyarat daftar dan mencarum Perkeso bagi semua penggiat seni perfileman berikutan kebanyakan penggiat seni bekerja berdasarkan projek tanpa mengira waktu hingga meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.

“Pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) ini berupaya menambah baik kebajikan serta melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan Perkeso.

“Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) juga berharap agar penggiat seni seperti piecemeal, stringer, penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh serta persatuan-persatuan industri seni kreatif yang terlibat di bawah sektor kesenian turut mencarum Perkeso bagi menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Perkeso dan Finas di Hotel Royale Chulan di sini, hari ini.

Sementara itu, Steven Sim turut mengumumkan inisiatif baharu di bawah SKSPS iaitu Bantuan Khairat Kematian (BKK) berjumlah RM1,000.

Katanya, ia untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini meliputi 20 sektor di bawah skim berkenaan.

“Seramai 3,120 penggiat seni tanah air merupakan pencarum aktif SKSPS setakat 12 April lalu.

“la antara tanggungjawab sosial korporat (CR) Kesuma menerusi Perkeso dengan BKK disalurkan kepada tanggungan atau waris yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan tetapi merupakan pencarum aktif serta memiliki sekurang-kurangnya 12 bulan caruman pada masa kematian,” jelasnya.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kesuma, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Sri Subahan Kamal dan Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN