PERKESO dan Penyedia Platform lindungi 500 pekerja gig

PERKESO dan Penyedia Platform lindungi 500 pekerja gig

R. RAMANAN (tengah), Subahan Kamal dan Dr. Azman Aziz Mohammed bergambar bersama pekerja penghantar makanan pada Majlis Perasmian Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih RM1.5 juta sumbangan disalurkan penyedia platform e-hailing dan p-hailing bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja gig di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

R. Ramanan berucap ketika Perasmian Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall Kota Damansara di sini, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, daripada jumlah itu, Foodpanda menyumbang RM1 juta, Grab RM500,000 dan Halo RM14,412.40.

Katanya, sumbangan keseluruhan bernilai RM1,514,412.40 itu akan memberi manfaat kepada 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

“Di sebalik setiap rider dan pemandu ada keluarga yang bergantung kepada pendapatan mereka. Sebab itu perlindungan sosial bukan perkara diambil ringan. Ia adalah jaringan keselamatan amat penting apabila berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

“Justeru, kerjasama seumpama itu menunjukkan kerajaan dan industri boleh bergerak bersama untuk memastikan pekerja gig bukan sahaja mempunyai peluang mencari pendapatan tetapi turut mempunyai perlindungan,” katanya ketika merasmikan Festival Mega iLINDUNGu: KESUMA Bersama Rakyat di Strand Mall Kota Damansara di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Festival Mega iLINDUNGu yang bermula Jumaat lalu menyediakan kaunter khas Opt-In LINDUNG 24 Jam sekali gus membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan mendaftar semula secara terus.

Majikan pula berpeluang menikmati diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) manakala pengunjung boleh membuat semakan caruman, mendapatkan khidmat nasihat berkaitan faedah serta mendaftar skim PERKESO.

R. Ramanan menyampaikan sumbangan kepada pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.

Sempena festival itu, Ramanan turut menyalurkan RM48,000 menerusi LINDUNG Kasih Suri Rumah sekali gus memperluas manfaat perlindungan kepada 400 penerima suri rumah.

Sementara itu, beliau turut mengulas kepentingan skim LINDUNG 24 Jam dalam memastikan pekerja dan keluarga sentiasa mempunyai perlindungan apabila berdepan perkara yang tidak dijangka.

Katanya, skim itu telah melalui proses kajian menyeluruh dan mendapat sentuhan pakar keselamatan sosial termasuk daripada Dr Mohammed Azman sendiri.

Tambahnya, Dr Mohammed Azman merupakan rakyat Malaysia pertama memegang jawatan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dan pandangan serta idea beliau telah dikongsikan kepada dunia.

“Beliau bukan saja CEO PERKESO tapi juga merupakan presiden ISSA, dari 165 negara mereka pilih Malaysia dan beliau dipilih sebagai presiden mewakili 380 ahli lain.

“Jadi kadang-kadang bila kita sendiri tak nak ambil pandangan rakyat kita, sebenarnya ia sangat merugikan.

“Baru-baru ni kita ada kenalkan Skim LINDUNG 24 jam, dah bentang di dewan rakyat dan segalanya tapi ada pihak yang tidak gembira dengannya.

“Daripada ia diwajibkan sampai kita buat tak wajib tapi sampai sekarang masih ada pencarum, ia penting untuk kita semua rakyat Malaysia,” ujarnya pada sesi sidang media.

SERAMAI 500 pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing menerima manfaat daripada sumbangan yang disalurkan bagi memperluas perlindungan keselamatan sosial pekerja gig di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Sementara itu beliau berkata, menerusi MYFutureJobs sebanyak 25 majikan menyertai festival berkenaan yang berlangsung sehingga esok (Ahad) dengan menawarkan 2,000 kekosongan pekerjaan dengan gaji antara RM2,000 hingga RM12,000.

“Fokus kita jelas. Rakyat yang datang bukan sekadar mendapatkan maklumat, tetapi kita mahu mereka pulang dengan peluang pekerjaan, akses kepada perlindungan sosial dan penyelesaian yang boleh memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Bagi mereka yang sedang mencari pekerjaan atau mahu meningkatkan kerjaya, rebut peluang ini. Kita membawa majikan dan peluang pekerjaan terus kepada rakyat,” katanya.

Festival Mega iLINDUNGu yang bermula Jumaat lalu membolehkan pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak meneruskan perlindungan berkenaan mendaftar semula secara terus.

Katanya, festival terbabit turut memperkukuh aspirasi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Bersama Rakyat dengan menghimpunkan 11 agensi dan jabatan lain di bawah KESUMA termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

“Pendekatan bersepadu sebegini membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat, khidmat nasihat dan akses secara langsung kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan di bawah satu bumbung.

“KESUMA Bersama Rakyat membawa satu mesej jelas; kita tidak mahu rakyat tercari-cari perkhidmatan kerajaan.

“Sebaliknya, kitalah perlu turun padang, mendekati mereka, mendengar suara mereka dan membawa penyelesaian terus ke tengah-tengah masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×