PETALING JAYA: Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) tidak pernah dilantik untuk mengutip caruman daripada majikan atau pekerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, pihak ketiga hanya dilaksanakan untuk kutipan caruman LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih yang pelaksanaannya bersifat sukarela.
Kata pertubuhan itu, pelantikan mana-mana ejen bagi tujuan berkenaan bukan secara automatik, sebaliknya perlu memenuhi semua keperluan operasi, sistem dan pematuhan yang ditetapkan Perkeso.
“Sehingga kini, Zetrix belum pernah mengutip sebarang caruman keselamatan sosial bagi pihak Perkeso, justeru tidak timbul isu caruman tertunggak, lewat diserahkan atau masih berada dalam pegangan syarikat berkenaan.
“Malah, Zetrix atau mana-mana pihak ketiga langsung tidak terbabit dalam menguruskan kutipan caruman majikan atau pekerja mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” katanya hari ini.
Perkeso berkata, Zetrix sebagai ejen adalah khusus bagi membantu aktiviti pemasaran, promosi dan libat urus untuk memperluas penyertaan LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih yang merupakan skim caruman secara sukarela.
Katanya, pelantikan ejen adalah khusus bagi membantu aktiviti pemasaran, promosi dan libat urus untuk memperluas penyertaan LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih, masing-masing yang dikuatkuasakan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) serta Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
“Pendekatan ini selari matlamat ke arah meningkatkan kesedaran dan memperluas capaian perlindungan keselamatan sosial kepada lebih ramai individu bekerja sendiri serta suri rumah yang layak,” katanya.
Tambah pertubuhan tersebut, keadaan itu berbeza dengan perlindungan keselamatan sosial mengikut Akta 4 yang bersifat mandatori dan dilaksanakan melalui mekanisme sedia ada serta tindakan penguatkuasaan Perkeso, tanpa memerlukan ejen luar bagi tujuan yang sama.
“Dalam proses pelantikan, setiap syarikat yang dipertimbangkan untuk menjadi ejen perlu melalui proses usaha wajar (due diligence), termasuk penelitian terhadap latar belakang syarikat serta semakan berkaitan kes mahkamah atau isu perundangan.
“Status setiap ejen turut tertakluk kepada pemantauan dan penilaian berterusan oleh Perkeso. Sekiranya ejen tidak menjalankan sebarang urusan atau aktiviti dalam tempoh tahun pertama pelantikannya, semakan terhadap status ejen berkenaan akan dilaksanakan pada tahun kedua,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung pelantikan Zetrix dan MyEG sebagai ejen kutipan berkuat kuasa hari ini.
Penggantungan itu dibuat selepas laporan mendakwa Zetrix berhutang lebih RM200 juta kepada JPJ, membabitkan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan cukai jalan kenderaan, pembaharuan lesen memandu dan saman trafik.
Laporan akhbar Singapura, The Straits Times menyatakan Zetrix gagal menyerahkan wang kutipan selepas kontrak tiga tahunnya dengan JPJ bermula pada Mei 2023.
Laporan itu memetik seorang pegawai kerajaan sebagai berkata, kementerian sedang mempertimbangkan tindakan seterusnya.
MyEG ditubuhkan pada 2000 dan dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kerajaan dalam talian, termasuk pembaharuan cukai jalan dan insurans kenderaan menerusi platformnya dengan kerjasama JPJ.
Syarikat itu dijenamakan semula sebagai Zetrix pada Julai 2025 sebagai sebahagian daripada peralihannya daripada penyedia perkhidmatan kerajaan elektronik kepada kumpulan infrastruktur teknologi. – UTUSAN











