Siasatan polis, SPRM tidak jejas operasi Zetrix AI - Utusan Malaysia

Siasatan polis, SPRM tidak jejas operasi Zetrix AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Operasi Zetrix AI Group Berhad (Zetrix AI) berjalan seperti biasa dan tidak terjejas berikutan siasatan bersama oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu disahkan oleh Lembaga Pengarah Zetrix AI dalam makluman kepada Bursa Malaysia bagi menjawab pertanyaan susulan laporan media berhubung enam saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan melibatkan syarikat berkenaan dan syarikat bersekutunya, MyEG Services Bhd (MyEG).

Syarikat itu mengesahkan bahawa pihak kumpulan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan dijalankan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Operasi Zetrix AI kekal tidak terjejas oleh siasatan yang sedang berlangsung ini.

“Sebarang perkembangan penting akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi pengumuman rasmi,” katanya.

Sebelum ini, pihak polis memaklumkan bahawa satu siasatan rasmi telah dibuka berhubung dakwaan kumpulan berkenaan dan MyEG gagal menyerahkan kutipan wang kerajaan bernilai RM230.9 juta berikutan aduan yang diterima pada 7 Oktober lalu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan berhubung pecah amanah jenayah.

Pada 8 Oktober lalu, Zetrix AI mengesahkan syarikat itu menanggung tunggakan kutipan berjumlah RM314 juta kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi tempoh antara Mei hingga September 2026.

Syarikat itu menjelaskan bahawa liabiliti berkenaan telah pun diiktiraf sebagai akaun belum bayar (payable) dalam lembaran imbangannya, sebagai maklum balas kepada tuntutan Bursa Malaysia bagi penjelasan jumlah tunggakan sebenar.

Zetrix AI turut memberi jaminan akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan material yang berkaitan mengikut keperluan kawal selia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini