Empat atlet negara terima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin

Empat atlet negara terima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin (kanan) menyampaikan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada Muhammad Azeem (kiri) pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi dan pelumba berbasikal trek para wanita negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri antara empat atlet yang menerima pingat sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-70 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Turut menerima pengiktirafan sama ialah penyerang skuad hoki kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan ratu 400 meter negara, Shereen Samson Vallabouy.

Keempat-empat atlet berkenaan dikurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam bidang sukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pingat berkenaan disampaikan oleh Sultan Nazrin pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini hari ini.

Muhammad Azeem, 22; Nur Suraiya, 31; Muhammad Azrai Aizad, 27, dan Shereen Samson, 28, merupakan antara 208 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak pada istiadat berkenaan.

Berangkat sama pada istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir. Zamri Mat Kasim mendahului senarai penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk bagi sesi kedua istiadat berkenaan.

Dalam istiadat itu, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada 11 penerima manakala 31 individu menerima Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Selain itu, turut menerima darjah kebesaran dan pingat pada istiadat sama ialah 19 penerima Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 48 penerima bagi Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 52 penerima untuk Pingat Pekerti Terpilih (PPT) manakala 34 dan 12 penerima masing-masing bagi Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP). 

Dalam istiadat sesi pertama yang diadakan pada 15 November lalu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Jizaini Mohd Zainuddin mengetuai senarai 24 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak daripada Sultan Nazrin.

Anis Rizana, 57, dikurniakan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri.

Pada istiadat pengurniaan sama, Sultan Nazrin juga mengurniakan Darjah Dato’ Seri Panglima Taming Sari (SPTS) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Bersempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin kali ini, seramai 218 penerima telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak termasuk satu penerima secara anumerta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini