PETALING JAYA: Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) mahu memainkan peranan lebih signifikan dalam Perikatan Nasional (PN) dan terlibat secara strategik dalam pembentukan dasar serta hala tuju gabungan itu, bukan sekadar sebagai rakan komponen.
Setiausaha Agung Gerakan, Wong Chia Zhen berkata, Gerakan sebagai parti berbilang kaum mahu terus memainkan peranan penting dalam memastikan PN kekal relevan dan mampu memperoleh sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, kekuatan PN bukan hanya bergantung kepada kerjasama antara parti komponen, tetapi turut ditentukan oleh keupayaan gabungan itu menawarkan dasar dan penyelesaian yang benar-benar menjawab keperluan rakyat.
“Dalam menghadapi PRU-16, Gerakan perlu memperkukuh kesiapsiagaan organisasi, memperluaskan pengaruh di peringkat akar umbi serta meningkatkan penglibatan golongan muda.
“Matlamat kita dalam PN jelas seperti mana tema persidangan kali ini iaitu ‘Gerakan Teguh, Perikatan Kukuh’,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 Gerakan berlangsung hari ini menjadi platform bagi perwakilan membahaskan hala tuju parti serta strategi menghadapi PRU-16.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan, Ong Tong Keong berkata, persediaan menghadapi pilihan raya akan datang menjadi antara fokus perwakilan bagi memastikan gerak kerja di peringkat akar umbi dilaksanakan secara lebih tersusun.
“Setakat ini kepimpinan tidak dimaklumkan apa yang akan dibentangkan perwakilan dalam Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 pada hujung minggu ini.
“Sudah tentu kita mengharapkan isu serta fokus parti dalam menghadapi PRU-16 untuk memperkukuhkan jentera,” katanya.
Ditanya sama ada isu berkaitan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta PN akan dibangkitkan dalam persidangan itu, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.-UTUSAN











