Kedudukan agama bukan untuk mendapat habuan - Utusan Malaysia

Kedudukan agama bukan untuk mendapat habuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejarah kegemilangan tamadun Islam bukan sekadar kisah kejayaan membina empayar, menguasai ilmu pengetahuan atau melahirkan tokoh besar dalam pelbagai bidang, sebaliknya turut menyimpan pengajaran penting mengenai hubungan antara ulama dengan pemerintah.

Di sebalik kemajuan yang pernah dikecapi kerajaan Islam, terdapat episod memperlihatkan bagaimana kekuasaan politik, perebutan pengaruh dan kepentingan duniawi boleh menghakis nilai keadilan apabila suara kebenaran tidak lagi diberikan tempat sewajarnya.

Kejatuhan sesebuah tamadun tidak berlaku dalam sekelip mata. Ia lazimnya melalui proses panjang yang melibatkan kelemahan kepimpinan, kerosakan pentadbiran, konflik dalaman serta kemerosotan nilai moral dan keilmuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Urusetia Muzakarah Ulama Pondok Negeri Kelantan, Dr. Muna Hamzan berkongsi pandangan, dalam konteks ini kedudukan ulama sebagai pembimbing masyarakat dan penasihat moral kepada pemerintah amat penting.

“Ulama bukan sekadar bertanggungjawab menyampaikan hukum-hakam agama, malah menegakkan prinsip amar makruf nahi mungkar, melaksanakan hisbah serta mengingatkan pemerintah apabila berlaku penyelewengan dan ketidakadilan.

“Perubahan landskap politik Islam selepas era Khulafa al-Rasyidin memperlihatkan peralihan daripada sistem kepimpinan berasaskan syura kepada pemerintahan bercorak monarki dinasti, bermula dengan kerajaan Umaiyyah dan diteruskan oleh kerajaan Abbasiyyah,” katanya.

Menurutnya, perubahan itu turut mempengaruhi hubungan antara institusi keagamaan dengan pemerintah.

Katanya, dalam keadaan kuasa politik semakin tertumpu kepada pemerintah, kebebasan ulama untuk menyampaikan pandangan tidak semestinya terjamin.

“Mereka yang mempunyai pendirian berbeza atau enggan memenuhi kehendak penguasa berdepan pelbagai tekanan, termasuk ancaman, penahanan dan hukuman.

“Antara tokoh yang sering menjadi contoh keteguhan prinsip ialah Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, pengasas mazhab Hanafi yang berdepan tekanan pemerintah kerana pendiriannya yang tidak mahu menerima jawatan kehakiman dalam keadaan yang tidak dipersetujuinya,” katanya.

Tambahnya, Imam Malik – pengasas mazhab Maliki pula pernah dikenakan hukuman sebatan pada zaman pemerintahan Abbasiyyah selepas pandangan fiqahnya mengenai bai’ah dikaitkan dengan pergolakan politik ketika itu.

“Kedua-dua tokoh tersebut memperlihatkan ilmu dan prinsip agama tidak seharusnya diperdagangkan demi memperoleh kedudukan atau menjaga kepentingan penguasa.

“Keteguhan mereka menjadi gambaran bahawa kemuliaan seseorang ulama bukan terletak pada kedudukannya di sisi pemerintah, tetapi pada kejujuran mempertahankan kebenaran,” tegasnya.

Dr. Muna berpandangan tidak semua individu yang mempunyai gelaran atau kedudukan agama mampu mempertahankan integriti ketika berhadapan dengan tarikan kuasa.

Katanya, dalam tradisi keilmuan Islam, wujud peringatan terhadap golongan yang disebut sebagai ulama al-su’ iaitu mereka yang menyalahgunakan ilmu agama demi kepentingan duniawi.

“Golongan ini boleh menjadikan kedudukan agama sebagai alat untuk mendapatkan habuan, pengaruh dan perlindungan politik. Lebih membimbangkan apabila pandangan agama digunakan untuk membenarkan tindakan bercanggah dengan prinsip keadilan, sedangkan masyarakat mengharapkan ulama menjadi suara mempertahankan hak mereka,” katanya.

Dalam dunia moden, katanya, masyarakat masih memerlukan ulama dan ilmuwan yang mempunyai keberanian moral untuk membincangkan isu rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan ekonomi, serta ketelusan pentadbiran.

Katanya, masyarakat juga perlu mempunyai kematangan membezakan antara nasihat berasaskan ilmu dengan kritikan yang didorong kepentingan politik atau sentimen peribadi. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini