Resipi bahagia pasangan berbeza personaliti

Resipi bahagia pasangan berbeza personaliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada pasangan yang gemar menghabiskan hujung minggu di rumah, menikmati masa berdua dalam suasana tenang. Namun, ada juga yang lebih teruja merancang aktiviti di luar, bertemu rakan-rakan atau menghadiri majlis bersama keluarga.

Begitu juga dalam perbualan. Seorang mungkin lebih banyak mendengar dan berfikir sebelum bersuara, sedangkan pasangannya gemar bercerita, berkongsi pandangan serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Perbezaan kecil seperti ini mungkin kelihatan remeh tetapi apabila dua personaliti berbeza berkongsi kehidupan di bawah satu bumbung, ia boleh menjadi ujian kepada kesabaran dan persefahaman.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih-lebih lagi apabila individu bersifat introvert yang memerlukan ketenangan dan ruang peribadi memiliki pasangan ekstrovert yang memperoleh keseronokan melalui interaksi sosial.

Namun, adakah perbezaan karakter bermakna pasangan sukar mengecapi kebahagiaan?

Hakikatnya, perkahwinan tidak menuntut dua individu mempunyai personaliti yang serupa. Sebaliknya, kebahagiaan lebih banyak bergantung pada sejauh mana pasangan bersedia memahami perbezaan, menghormati keperluan masing-masing dan mencari titik tengah dalam kehidupan bersama.

Bagi Irina Shariff, 35, perbezaan personaliti dengan suaminya yang ekstrovert paling dirasai apabila mereka menghadiri majlis keluarga atau keluar bersama rakan-rakan.

Sebagai seorang introvert, Irina lebih selesa berada di satu tempat sambil memerhatikan keadaan sekeliling. Sebaliknya, suaminya lebih teruja bertemu kenalan, berbual dan bergaul dengan orang lain.

Katanya, ada kalanya suami menganggap dirinya kurang berminat untuk bersosial, sedangkan dia hanya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana.

“Ada masanya suami menganggap saya kurang berminat untuk bersosial, sedangkan saya cuma memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Begitu juga apabila suami terlalu aktif melakukan sesuatu, saya memerlukan ruang untuk berehat,” katanya kepada Seri.

Menyedari perbezaan itu tidak mungkin dihapuskan begitu sahaja, mereka memilih untuk saling bertolak ansur yang menjadi resipi kebahagiaan selama lima tahun mendirikan rumah tangga.

Irina memberikan ruang kepada suami untuk bersosial, malah cuba menyertai aktiviti bersama sekali-sekala.

Suaminya pula belajar memahami bahawa ada waktunya Irina memerlukan ruang bersendirian untuk mengembalikan tenaga.

Bagi Afrina Nazifa Shahrul pula, situasinya juga tidak banyak berbeza.

Suaminya seorang yang mudah mesra, gemar keluar dan senang berkawan dengan sesiapa sahaja.

Sebaliknya, wanita berusia 38 tahun ini lebih selesa berada di rumah dan kurang gemar mengunjungi tempat yang sesak dengan orang ramai.

Perbezaan itu kadangkala mencetuskan salah faham, terutama apabila suami mengajaknya menghadiri majlis keluarga.

“Kalau suami ajak keluar atau pergi majlis keluarga, saya kadang-kadang berat hati sebab penat nak berhadapan dengan ramai orang. Perkara itu boleh menyebabkan suami terasa hati kerana dia fikir saya tidak suka meluangkan masa bersama keluarganya.

“Ada juga masanya apabila kami keluar, suami sibuk berbual dengan orang lain sehingga saya rasa seperti ditinggalkan,” katanya yang mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Afrina mula berdiam diri selepas penat bersosial.

Suami pula menyangka dirinya merajuk, sedangkan dia hanya memerlukan masa untuk berehat.

Bagaimanapun, pengalaman hidup bersama mengajar mereka tidak semua perkara perlu dilakukan mengikut kehendak seorang sahaja.

“Saya belajar untuk sesekali ikut kehendak suami, manakala suami pula perlu faham bahawa saya bukan setiap masa mempunyai tenaga untuk bersosial.

“Kadang-kadang kami tetap bergaduh kerana perkara kecil, tetapi lama-kelamaan kami belajar untuk tidak terlalu memaksa antara satu sama lain,” jelasnya.

BERBEZA KARAKTER, SALING MELENGKAPI

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd Sa’ad berkata, introvert merujuk kepada individu yang lebih selesa dengan suasana tenang, interaksi sosial terhad dan memerlukan masa bersendirian untuk memulihkan tenaga psikologi.

Sebaliknya, ekstrovert lebih gemar berinteraksi, bersosial dan melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan.

Menurutnya, perbezaan utama kedua-dua personaliti itu terletak pada kecenderungan terhadap rangsangan sosial dan cara individu mengurus tenaga psikologi, bukannya tahap kasih sayang atau kemesraan terhadap pasangan.

Malah, perbezaan tersebut boleh menjadi daya tarikan yang mengukuhkan hubungan apabila pasangan menghargai kelebihan masing-masing.

“Introvert mungkin tertarik kepada sifat ceria, yakin dan mudah bergaul yang dimiliki ekstrovert. Sebaliknya, ekstrovert mungkin tertarik kepada ketenangan, kematangan dan sifat pendengar yang baik pada introvert.

“Namun, keserasian nilai, kepercayaan dan kematangan emosi turut memainkan peranan penting dalam hubungan,” katanya.

Jelasnya, individu yang mempunyai personaliti berbeza berpeluang saling melengkapi kerana masing-masing membawa kekuatan tersendiri dalam perkahwinan.

Sebagai contoh, pasangan ekstrovert boleh membantu membuka ruang kepada pengalaman sosial dan hubungan yang lebih luas, manakala pasangan
introvert pula mungkin membawa ketenangan serta pendekatan lebih berhati-hati ketika membuat keputusan.

Bagaimanapun, kelebihan itu hanya dapat dimanfaatkan apabila kedua-duanya tidak melihat perbezaan sebagai kelemahan.

Konflik boleh tercetus apabila individu introvert dianggap tidak prihatin hanya kerana kurang bercakap, manakala pasangan ekstrovert pula dilabel terlalu mendesak kerana gemar berkomunikasi.

Keadaan menjadi lebih mencabar selepas berkahwin apabila pasangan perlu menyelaraskan aktiviti sosial, hubungan dengan keluarga mentua, masa bersama dan tanggungjawab rumah tangga.

“Konflik biasanya timbul apabila keperluan emosi pasangan tidak difahami atau dihormati,” katanya.

Menurut Fauziah, pasangan yang gemar bersosial mungkin berasa kebebasannya disekat apabila terlalu banyak aktiviti perlu dikorbankan.

Sebaliknya, individu yang lebih selesa berada di rumah pula boleh berasa terabai apabila pasangan terlalu kerap menghabiskan masa di luar.

Justeru, keseimbangan perlu diwujudkan melalui perbincangan dan kompromi, termasuk menetapkan masa untuk melakukan aktiviti bersama, memenuhi keperluan sosial serta memberikan ruang peribadi kepada setiap individu.

FAHAMI BAHASA KASIH SAYANG PASANGAN

Satu lagi cabaran yang sering berlaku dalam hubungan berbeza personaliti ialah kecenderungan mentafsir tingkah laku pasangan berdasarkan cara diri sendiri berfikir dan bertindak.

Individu introvert sering disalah anggap sebagai pendiam, tidak mesra atau kurang mengambil berat kerana tidak banyak bercakap dan tidak menunjukkan emosi secara terbuka.

Hakikatnya, mereka mungkin mengekspresikan kasih sayang melalui tindakan, kesetiaan, perhatian dan sokongan emosi.

Begitu juga individu ekstrovert yang kadangkala dianggap terlalu banyak bercakap, gemar mencari perhatian atau terlalu bergantung pada hubungan sosial.

Sedangkan, kecenderungan berkomunikasi dan bersosial merupakan sebahagian daripada karakter mereka dan tidak semestinya mencerminkan
kurang komitmen terhadap pasangan.

Menurut Fauziah, komunikasi terbuka, kemahiran mendengar secara empati dan keupayaan menyatakan keperluan emosi dengan jelas amat penting bagi mengelakkan salah faham.

“Contohnya, sikap berdiam diri tidak semestinya bermaksud marah, manakala keinginan untuk berbual tidak semestinya bermaksud mendesak.

“Dalam kaunseling perkahwinan, kemahiran komunikasi asertif dan pengesahan emosi amat penting untuk mengurangkan salah faham,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pasangan tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada satu pihak untuk berubah.

Usaha memaksa pasangan mengubah personaliti boleh menimbulkan tekanan emosi, rasa tidak dihargai dan konflik berpanjangan.

Namun, penerimaan juga bukan bermaksud seseorang perlu membiarkan tingkah laku pasangan yang menyakitkan hati atau menjejaskan hubungan.

Sebaliknya, kedua-duanya perlu bersedia menyesuaikan tingkah laku, belajar memahami batas masing-masing dan mencari pendekatan yang dapat memenuhi keperluan bersama.

KEBAHAGIAAN BERMULA DENGAN PENERIMAAN

Sementara itu, Pakar Sosial dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, gabungan individu introvert dan ekstrovert merupakan kombinasi yang baik kerana kedua-duanya mempunyai karakter yang boleh saling melengkapi.

Menurutnya, perbezaan tersebut mampu mewujudkan keseimbangan dalam sesebuah hubungan, asalkan pasangan mengetahui cara mengurus dan memanfaatkan kelebihan masing-masing.

“Perbezaan antara dua karakter ini merupakan satu kombinasi yang baik dan sangat sesuai
dalam sesuatu hubungan kerana kedua-duanya saling melengkapi.

“Persoalannya ialah bagaimana kita menggunakan kedua-dua karakter ini supaya hubungan terus kekal dalam keadaan baik,” katanya.

Beliau berkata, perkara asas yang perlu dilakukan pasangan ialah mengenali karakter masing-masing sebelum menilai sejauh mana mereka mampu menerima perbezaan tersebut.

Beliau mencadangkan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bagi membolehkan pasangan memahami antara satu sama lain dan menilai penerimaan terhadap karakter masing-masing.

Mengulas cara komunikasi, Mohammad Shatar berkata, individu ekstrovert lazimnya lebih mudah meluahkan perasaan dan pandangan secara lisan, sekali gus menjadikan mesej yang disampaikan lebih jelas untuk difahami.

Bagaimanapun, mereka perlu berhati-hati supaya tidak terlalu banyak bercakap sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pasangan.

Sebaliknya, individu introvert mungkin lebih selesa menyampaikan sesuatu perkara secara ringkas dan tidak gemar mengulanginya berkali-kali.

Malah, ada antara mereka yang lebih cenderung menggunakan mesej, tulisan atau memo untuk menyampaikan hasrat dan keperluan.

Justeru, pasangan perlu memahami bahawa cara komunikasi yang berbeza tidak bermakna salah seorang kurang mengambil berat terhadap hubungan.

Individu ekstrovert perlu memberikan ruang kepada pasangan untuk menyampaikan pandangan mengikut keselesaannya, manakala individu introvert pula perlu berusaha menyuarakan perasaan supaya pasangan tidak terus membuat andaian.

Tambah beliau, tiada masalah untuk seseorang memilih pasangan yang mempunyai karakter berbeza kerana perbezaan itu boleh menjadi kelebihan dalam hubungan.

Namun, pasangan tidak seharusnya menggunakan personaliti masing-masing sebagai alasan untuk mempertahankan sikap sendiri atau membuktikan karakter mereka lebih baik.

Sebaliknya, setiap individu perlu mengenali kelemahan diri, menghormati keperluan pasangan dan bersedia melakukan penyesuaian.

“Mereka perlu memahami kelemahan masing-masing dan saling menghormati supaya tidak timbul perselisihan antara satu sama lain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini