Pelihara kebahagiaan rumah tangga

Pelihara kebahagiaan rumah tangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“LELAKI Melayu bersusuk rendah tapi sasa, berambut hitam lurus dengan kulit sawo matang serta berhidung kembang dengan bibir yang tebal. Orang Melayu juga mempunyai mata yang terang.”

“Orang Melayu pada amnya bersopan santun, beradab, peramah serta bijak menyembunyikan kesangsian dengan menunjukkan perawakan yang ramah. Mereka juga bijak berbicara, susun kata mereka disulami dengan jenaka, malah amat gemar berseloroh.“

Begitulah deskripsi yang dinukilkan oleh Frank Swettenham, Residen British di Perak dalam bukunya bertajuk Malay Sketches yang diterbitkan pada 1895, iaitu selepas 24 tahun beliau ‘bercampur’ dengan komuniti Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau lagi, orang Melayu sangat bangga, sayangkan negeri, cintakan bangsa serta setia kepada raja.

Mereka merupakan muslim yang taat, malah sanggup diseksa demi mempertahankan kesucian agama Islam walaupun sebenarnya mereka bukanlah taasub dalam beragama. Swettenham juga mengakui, ketaatan orang Melayu dalam beragama menyebabkan kebanyakan mubaligh Kristian berputus asa untuk mengkristiankan masyarakat pada zaman tersebut.

Secara ringkasnya, ciri-ciri yang dinyatakan tersebut meletakkan sifat malu, beradab, tegas dan menjaga wibawa sebagai kriteria ideal seorang ketua keluarga.

Pengaruh budaya ini jugalah mencorakkan cara pasangan meluahkan rasa cinta masing-masing. Justeru, manifestasi cinta orang Melayu tidaklah sama seperti budaya Barat yang bersifat ekspresif dengan mengucapkan I love you, memeluk, memegang dan mengucup pasangan di ruangan awam.

SESUNGGUHNYA komunikasi, komitmen, pengorbanan dan ilmu yang dilengkapi akhlak mahmudah menjadi rencah utama kebahagiaan.

Bahasa cinta
Gary Chapman, kaunselor keluarga menyatakan bahawa ucapan romantis bukanlah satu-satunya cara individu menzahirkan perasaannya terhadap pasangan.

Tidak semua insan mempunyai keberanian untuk mendedahkan isi hatinya menerusi perkataan. Malah tidak semua individu juga berkemampuan untuk memilih bait-bait puitis bagi menyegarkan perasaan pasangannya.

Di dalam bukunya The 5 Love Languages: The Secret to Love That Lasts menjelaskan terdapat lima ‘bahasa’ seseorang memanifestasi dan menerima cinta.

Pertama, perasaan tersebut diungkapkan menerusikata-kata manis sama ada dengan ucapan I love you, I miss you, ‘sayang’ dan lain-lain kalimah indah yang membuai perasaan, membangkitkan senyuman melayang.

Kedua, memberikan hadiah terutamanya apabila tiba tanggal istimewa seperti ulang tahun perkahwinan, tarikh kelahiran sehinggalah ke tarikh kali pertama pasangan bertentang mata.

Kadang-kadang pemberian hadiah bukanlah disandarkan kepada tarikh atau peristiwa tertentu, namun sebagai bentuk penghargaan kepada insan tercinta.

Hadiah pula tidak semestinya bernilai tinggi, yang penting sepadan dengan kemampuan pemberi dan mempunyai maksud tersendiri.

Ketiga, sentuhan sama ada dengan berpegangan tangan, mencuit, menyikat rambut, menuntun pasangan melintas jalan, memeluk, mencium dan sebagainya.

Keempat menerusi perbuatan, tindakan atau khidmat. Antaranya seperti ‘perjuangan’ memenuhi hasrat isteri yang mengidam, membasuh botol susu, menjerang air, menyapu laman, menjemur pakaian, menukar mentol lampu atau mengepam sinki tersumbat.

Orang Melayu yang sering dikaitkan dengan nilai budaya ketimuran lebih cenderung menzahirkan kasih sayang menerusi perbuatan atau khidmat berbanding pengucapan lisan ataupun memberikan hadiah.

Kelima, meluangkan masa berkualiti. Dalam kesibukan mencari nafkah dan rutin seharian yang mencengkam, amat penting untuk pasangan memanfaatkan sela waktu bagi menjejaki perkembangan, mengembalikan tawa serta menyuburkan kasih. Aktiviti seperti makan bersama, solat berjemaah dan bermusyawarah menjadi platform untuk mengukuhkan kasih sayang.

Justeru, pasangan perlulah berlapang dada kerana setiap individu mempunyai karakter dan pendekatan berbeza.

Apa yang penting, masing-masing perlu menyedari bahawa bahasa cinta ini dilaksanakan menurut karakter penerima, dan bukanlah dengan memaksa pasangan menerima bahasa cintanya semata.

Komunikasi
Islam mengiktiraf perkahwinan merupakan ladang pahala dan pelengkap kehidupan. Ironinya, statistik dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menunjukkan bahawa dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, pendaftaran kes pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah meningkat hampir 100,000 kes bagi setiap lima tahun.

Menyedihkan lagi apabila 37 peratus daripada perceraian tersebut berlaku dalam tempoh perkahwinan muda, iaitu dalam lingkungan lima tahun pertama selepas perkahwinan.

Permasalahan ekonomi, ditinggalkan oleh pasangan, sikap buruk (baran, tiada komunikasi dan komunikasi tidak berkesan), penderaan mental, emosi dan fizikal, masalah seksual serta gangguan pihak ketiga merupakan enam punca utama perceraian.

Mendepani pasangan milenial atau gen-Z pula, bukanlah suatu perkara menjanggalkan apabila perceraian berlaku disebabkan pasangan terlalu asyik dengan online game, pengaruh media sosial serta leka menonton drama sehingga mengabaikan tanggungjawab.

Malangnya lagi, dapatan kajian yang saya lakukan terhadap 669 kes pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah mendapati hanya lima peratus pasangan memaklumkan kemelut rumah tangga yang dihadapi kepada keluarga terdekat, 12 peratus mendapatkan nasihat daripada kaunselor, manakala bakinya sebanyak 83 peratus tidak pernah mendapatkan apa-apa bantuan bagi memulihkan perseteruan.

Justeru, sering kali perceraian berlaku dengan diiringi persengketaan, yang kemudiannya menjebak anak-anak untuk terus terperangkap dalam kemelut ibu bapa yang tidak berkesudahan.

Damai
Marahnya orang sabar adalah dengan berdiam diri, manakala kecewanya orang sabar adalah dengan berlalu pergi. Justeru, sekiranya pasangan dihimpit konflik, berusahalah untuk mendapatkan bantuan.

Sesungguhnya komunikasi, komitmen, pengorbanan dan ilmu yang dilengkapi akhlak mahmudah menjadi rencah utama kebahagiaan. Ujian yang dihadapi ketika melayari bahtera rumah tangga bisa menjadi layar utuh untuk menuntun pasangan berlabuh ke destinasi cinta abadi.

Di Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta pusat kaunseling menyediakan perkhidmatan runding cara dan nasihat kepada pasangan yang menghadapi kemelut rumah tangga.

Bahkan khidmat nasihat secara atas talian turut disediakan oleh JAIN bagi tujuan tersebut, manakala JKSM pula menyediakan khidmat nasihat melibatkan isu perundangan dan kehakiman menerusi perkhidmatan e-Konsultasi.

Di Mahkamah Syariah, perkhidmatan Sulh diwujudkan bagi membimbing masyarakat menyelesaikan tuntutan secara perdamaian.

Menurut statistik di seluruh negara semenjak 2022 hingga 2025 menunjukkan 88 peratus kes sulh berjaya mencapai persetujuan bersama.

Malah, pematuhan terhadap perintah nafkah anak, hadhanah, harta sepencarian, nafkah tertunggak, hutang dan mut’ah menjadi lebih tinggi apabila keputusan diperoleh secara harmoni berdasarkan persetujuan.

Allah SWT menerusi ayat 128 surah al-Nisa’ menekankan kalimah wa al-sulh khoir bagi menzahirkan peri pentingnya penyelesaian pertikaian menerusi perdamaian.

Justeru, setiap pasangan perlulah meningkatkan ilmu agama di samping ilmu rumah tangga agar berkemampuan membina keluarga kalis ujian, seterusnya melahirkan generasi ultra gemilang! – UTUSAN

DR. Roziana Mat Amin ialah Pegawai Sulh Kanan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) dan Exco Pendidikan, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini