PERKAHWINAN menyatukan dua insan yang berbeza karakter. Saling melengkapi antara satu sama lain.
Pun begitu mencari keserasian itu tidak lah mudah. Mengambil masa dan ada ujian-ujian yang perlu dijalani.
Andai tak kuat, maka rebah sebelum sampai ke penghujung. Minggu ini saya kongsikan kisah, Laila (bukan nama sebenar)
yang diuji mempunyai suami dan anak yang mengalami Kecelaruan Obsesif Kompulsif (OCD) selama hampir 25 tahun.
Wanita berusia pertengahan 50-an itu berkata, bukan mudah kepada sesiapa sahaja untuk melaluinya.
Tidak cukup berbekalkan kesabaran dan semangat yang kuat, tetapi sokongan ahli keluarga terdekat.
Katanya, tujuan dia berkongsi kisah rumahtangga bukan untuk membuka aib sesiapa atau mahu berbangga diri kerana mampu menjalani hidup bersama ahli keluarga OCD.
“Tidak mudah. Memang tidak mudah sama sesekali. Apapun saya tetap memanjatkan kesyukuran kepada Allah Taala. Ini ujian untuk diri saya. Orang lain, lain pula ujian dihadapi,” katanya dalam pertemuan bersama saya baru-baru ini.
Sambil mengukir senyuman penuh makna, kata Laila ada alasan untuk dia mempertahankan rumahtangga sehingga ke hari ini.
Dia sayangkan perkahwinan yang dibina bersama Munir (bukan nama sebenar) berlandaskan niat dan keikhlasan.
Walaupun berkali-kali diuji dengan suami yang bersikap tegas dan diktaktor hingga ada kalanya terasa maruah diri sebagai isteri tidak dihargai, namun dia tetap bertahan.
Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk keluar daripada ikatan perkahwinan itu.
Laila yang baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan ke 25 tahun baru-baru ini berkata, pucuk pangkalnya adalah memahami erti perkahwinan itu sendiri.
“Saya bukan isteri sempurna. Adakala kesabaran teruji. Rasa putus asa dan sedih.Namun setiap kali perasaan itu datang, saya cuba membuangnya jauh-jauh. Saya ingatkan kepada diri sendiri, kenapa saya berkahwin,” katanya.
“Apabila saya memahami erti dan tujuan perkahwinan itu, alhamdulilah segala ujian dapat dilalui dengan lebih baik dan tenang,” katanya lagi.
Menceritakan pengalaman lebih dua dekad bersuamikan lelaki OCD, kata Laila, antara cabaran besar terpaksa dihadapi adalah cemuhan dan hinaan masyarakat terutama daripada ahli keluarga sendiri.
“Usahkan masyarakat, saudara mara terdekat sendiri tidak faham. Sering bercakap-cakap belakang, bergosip sana sini tentang suaminya.
Kata Laila, siapa tak sedih kalau ahli keluarga sendiri menabur kata-kata tohmahan dan umpatan.
Pernah kata Laila, abang iparnya menyatakan Munir gila selepas melihat sendiri tingkah laku suami yang suka melakukan perkara berulang-ulang. “Munir adalah lelaki pilihan saya. Semasa kami bercinta, saya sudah tahu dia alami OCD. Sebelum mengambil keputusan berkahwin, saya sudah kir semasak-masaknya.
“Sebagai persediaan saya berusaha menambah ilmu dengan memperbanyakkan bacaan dan bertemu dengan individu yang menjaga ahli keluarga OCD.
“Mak ayah tidak membantah mahupun menolak. Menurut mereka, saya yang akan hidup bersamanya bukan orang lain,” katanya.
Menyambung cerita, kata Laila, sepanjang tempoh berumahtangga, tingkah laku suami banyak menguji kesabarannya.
Kata Laila, suami OCD yang tidak menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Semua ciri-ciri OCD seperti terlalu mengikut peraturan sendiri, sangat tegas yang ada kalanya tidak kena tempat, perlu mengambil makan tertentu setiap hari dan terlalu teratur ada pada suaminya.
“Rutin harian suami sebagai pegawai di salah sebuah bank di ibu negara hanya keluar pagi, pulang petang. Setiap hujung minggu, kami tidak keluar kecuali ada undangan majlis rakan-rakan atau saudara mara.
Di rumah masa kami banyak dihabiskan mengemas dan memastikan rumah teratur dan bersih.
Kadang-kala suami menghabiskan masa berjamjam menghias rumah. Jika tidak kena, saya dan anak-anak menjadi mangsa bebelannya,” ceritanya.
Tambah Laila lagi, suami selalu berada dalam keadaan cemas dan mempunyai sifat rasa was-was yang tinggi dalam melakukan sesuatu perkara.
Sebagai isteri, dia cuba untuk memahami dan bersabar.
Menyambung cerita lalu, kata Laila, dua tahun berkahwin, mereka dikurniakan seorang anak lelaki penyeri rumah tangga.
Ketika anak sulungnya, Zamri (bukan nama sebenar) menjengah usia lima tahun dia diuji lagi.
Ini selepas Zamri dikesan mengalami gelaja OCD seperti bapanya.
“Awalnya saya tidak perasaan, lama kelamaan saya dapati ciriciri OCD ada padanya.
“Saya tidak membiarkan keadaan itu terlalu lama dan mengambil keputusan membawanya berjumpa pakar. Saya tidak terkejut apabila doktor memberitahu anak sulung saya juga mewarisi OCD seperti bapanya,” ceritanya lagi.
Zamri kini berusia 22 tahun dan sedang melanjutkan pengajian di salah sebuah universiti tempatan.
Sepanjang menjalani kehidupan bersama ahli keluarga yang mempunyai OCD, banyak yang perlu dikorbankan. Masa, tenaga, wang ringgit dan emosi.
Pengorbanan paling besar dilakukan Laila adalah pekerjaannya sebagai seorang guru semata-mata mahu memberi tumpuan kepada keluarga.
Katanya, selepas berhenti kerja dia berusaha membawa suami dan anaknya menjalani rawatan psikoterapi bersama pakar .
“Alhamdulilah sepanjang hidup bersama, suami tidak pernah menolak untuk menerima rawatan.
“Selain berjumpa pakar, suami juga mengambil ubat-ubatan yang disyorkan doktor,” sambungnya lagi sambil menegaskan apa yang dilakukan hanya mahu mencari keredhaan dalam perkahwinan.
Sesungguhnya perkahwinan adalah sunah yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Baginda menekankan sebelum seseorang lelaki memeterai ikatan perkahwinan agar mengutamakan aspek agama terlebih dahulu. Sebagaimana hadis Riwayat Abu Hurairah daripada Nabi Muhamad SAW bermaksud:
Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka, carilah yang mempunyai agama, nescaya kamu akan beruntung. (Riwayat alBukhari dan Muslim).











