Sidang DUN P. Pinang: 64 lelaki jadi mangsa keganasan rumah tangga tahun ini - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: 64 lelaki jadi mangsa keganasan rumah tangga tahun ini

LIM Siew Khim pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Golongan lelaki turut menjadi mangsa dalam 64 daripada sejumlah 288 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di Pulau Pinang sejak Januari hingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, berdasarkan rekod Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mangsa keganasan rumah tangga itu tidak hanya melibatkan wanita, malah lelaki turut menjadi mangsa.

”Berdasarkan rekod PDRM, sebanyak 450 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Pulau Pinang bagi tahun 2022 yang mana 105 kes membabitkan lelaki dan 346 kes mangsanya ialah wanita.

“Sehingga September lalu pula, sebanyak 288 kes direkodkan yang mana daripada keseluruhan kes, 64 kes yang dilaporkan melibatkan lelaki (sebagai mangsa) manakala 224 kes pula wanita,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Siew Khim (DAP-Sungai Pinang) menjawab soalan Lee Boon Heng(PKR-Kebun Bunga) berhubung isu keganasan rumah tangga di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, keganasan rumah tangga adalah antara isu sosial yang sering berlaku sehingga menjadi norma dalam kalangan masyarakat.

Katanya, ia juga dianggap sebagai suatu pergolakan sesebuah keluarga yang wajar diselesaikan tanpa campur tangan pihak lain.

”Namun, isu ini ditafsirkan sebagai kesalahan jenayah yang boleh ditangkap di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 1994 (Akta 521) yang dibaca bersama peruntukan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) serta undang-undang bertulis yang lain,” katanya.

Tambahnya, dalam mempelbagaikan khidmat sokongan yang diberikan kepada mangsa keganasan rumah tangga, Dasar Keluarga Selamat Negeri Pulau Pinang telah digubal dan dilaksanakan sejak 2020. 

”Sebanyak 345 ‘First Support Points’ dilatih untuk memberi sokongan awal kepada mangsa keganasan rumah tangga sehingga ke hari ini oleh Penang Women’s Development Corporation (PWDC) dan Women’s Centre for Change (WCC). 

”’First Support Point’ ini terdiri daripada jabatan, agensi kerajaan, Pusat Khidmat ADUN, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan agama. 

“Selain itu, pelbagai program kesedaran juga dijalankan kepada lebih 1,600 orang dalam meningkatkan kesedaran penduduk negeri ini tentang gejala keganasan rumah tangga dan cara mendapat bantuan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Azmi Alang (Bersatu-Teluk Air Tawar) berhubung keganasan rumah tangga melibatkan golongan suami, Siew Khim berkata, terdapat pelbagai kes melibatkan golongan lelaki termasuk dari segi mental dan sindiran daripada pasangan mereka.

“Keganasan (rumah tangga) ini tidak kira jantina dan ada macam-macam keganasan melibatkan mangsa jantina lelaki.

“Ada mereka (lelaki) menjadi mangsa perang dingin, tampar dan sindiran. Kita juga bukan tumpukan mangsa terhadap golongan wanita sahaja kerana sekarang sudah tidak sama, mereka (lelaki) juga telah berani suarakan (jadi mangsa),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya