GEORGE TOWN: Keputusan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bergantung kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang negeri berhubung implikasi terhadap perlembagaan sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan serentak dengan Parlimen.
Kon Yeow berkata, pada masa yang sama, beliau juga memerlukan panduan daripada kepimpinan tertinggi parti iaitu DAP berhubung perkara yang sama.
“Jadi, kita perlu lihat perkara ini daripada dua sudut iaitu berdasarkan perlembagaan dan pendirian parti politik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) mengenai sama ada kerajaan negeri bercadang membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen selepas ini.
Guan Eng seterusnya bersetuju bahawa keputusan berkenaan perlu dibuat berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Negeri, namun, berpandangan, perkara tersebut masih berada di bawah bidang kuasa Ketua Menteri.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng berkata, berhubung pendirian parti pula, DAP masih perlu mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh Setiausaha Agung mereka, Anthony Loke Siew Fook.
“Setiausaha Agung sudah mengumumkan sebelum ini bahawa PRN dan PRU perlu diadakan serentak berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau.
Pulau Pinang merupakan antara enam negeri selain Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang tidak membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada November 2022.
Negeri-negeri tersebut bagaimanapun bersetuju untuk membubarkan DUN masing-masing pada Jun 2023 bagi membolehkan PRN diadakan serentak pada bulan Ogos tahun yang sama.-UTUSAN










