Sidang DUN P. Pinang: Pemegang sijil halal meningkat - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: Pemegang sijil halal meningkat

MOHAMAD Abdul Hamid pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pulau Pinang merekodkan sebanyak 1,809 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) tahun ini berbanding 1,729 orang tahun lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, peningkatan jumlah pemegang SPHM itu memberikan gambaran positif mengenai kesedaran peniaga atau usahawan untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka.

”Permohonan Pensijilan Halal Malaysia adalah bersifat sukarela.

“Statistik pemegang SPHM di Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun ialah 1,435 orang pada tahun 2021; 1,729 pada 2022 dan 1,809 pada 2023,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Mohamad (PKR-Batu Maung) berkata, selain pemegang SPHM, jumlah permohonan sijil halal juga meningkat iaitu 1,015 pada tahun 2021; 1,031 pada 2022 dan 920 sehingga Oktober tahun ini.

”Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sentiasa proaktif dalam  mempromosikan kesedaran halal secara berkala kepada pemain industri sama ada secara kendiri atau melalui kerjasama agensi-agensi pembimbing,” katanya.

Tambah beliau, pensijilan halal di bawah Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP dan prosedur serta standard pensijilan halal Malaysia adalah merujuk kepada konsep Halalan Toyyiban yang digariskan oleh hukum syarak.

“Oleh itu, ia mengambil kira dua aspek utama iaitu aspek halal mengikut perspektif syarak dan aspek toyyiban yang mencakupi keselamatan, kebersihan, kualiti dan etika pengurusan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya