CHICAGO: Tindakan agresif seorang penumpang mencetuskan amaran keselamatan di dalam pesawat United Airlines yang membawa 153 penumpang dan anak kapal di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).
Ia berlaku selepas lelaki terbabit cuba meluru masuk ke dalam kokpit.
Penerbangan United 2005 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago pada jam 8.02 malam waktu tempatan Jumaat lalu menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis St Paul.
Bagaimanapun, pesawat itu terpaksa dilencongkan ke sebuah lapangan terbang di Wisconsin susulan kekecohan yang berlaku di ruang udara.
Jurucakap syarikat penerbangan berkenaan mengesahkan kepada Daily Mail bahawa pesawat itu berjaya mendarat dengan selamat. Pendaratan itu berlaku selepas ia mengendalikan ‘isu keselamatan membabitkan seorang penumpang yang ingkar.’
Satu imej yang dirakam di dalam pesawat menunjukkan seorang lelaki berbaju biru diiringi keluar dari pesawat oleh beberapa anggota polis.
Beberapa penumpang turut berkongsi di media sosial bahawa suspek yang belum dikenal pasti identitinya itu meracau dalam bahasa Russia ketika kekecohan berlaku di pertengahan penerbangan.
“Saya rasa mereka tidak sempat menggari suspek tetapi berjaya mengawalnya selepas dia berulang kali cuba menceroboh kokpit,” menurut rakaman komunikasi radio.
Rakaman audio dari lapangan terbang yang disemak oleh saluran sekutu ABC, WISN mendedahkan perbualan individu memaklumkan menara kawalan trafik udara bahawa terdapat anggota penguatkuasa undang-undang kebetulan berada di dalam pesawat itu sebagai penumpang sebelum segera bertindak selepas suspek cuba menceroboh kokpit. – AGENSI










