WASHINGTON: Sebuah helikopter yang membawa sepasang pengantin baharu terhempas sejurus berlepas dari lokasi majlis resepsi mereka di Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Insiden tragis itu mengorbankan pengantin lelaki dan juruterbang, manakala pengantin perempuan dilaporkan mengalami kecederaan.
Nahas dilaporkan berlaku pada lewat malam 29 Mei lalu berhampiran Dawsonville, sebuah kawasan di utara Atlanta.
Ia berlaku selepas mangsa, Dave Fiji, 26, dan isterinya, Jesni, 25, menaiki helikopter jenis Robinson R66 selepas tamatnya majlis itu.
Pasangan terbabit dijadualkan menuju ke sebuah hotel di Atlanta sebelum pesawat ringan itu dilaporkan terjatuh dan terhempas di kawasan hutan tebal yang tidak jauh dari lokasi majlis.
Menurut laporan Atlanta News First, majlis resepsi tersebut yang berlangsung di dewan acara The Revere di Dawsonville telah dihadiri oleh kira-kira 400 orang tetamu.
Pihak keluarga memaklumkan bahawa gimik menaiki helikopter itu sememangnya telah dirancang lebih awal. Ia adalah sebagai acara kemuncak bagi melambangkan pelepasan istimewa buat pasangan pengantin itu pada akhir majlis.
Dave yang terkorban merupakan seorang pegawai kanan pertama yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan Delta Air Lines, manakala keluarganya berasal dari Kerala, India.
Beliau bersama juruterbang helikopter itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak berkuasa tempatan. – AGENSI










