BUKIT MERTAJAM : Perselisihan akibat masalah rumah tangga dikenal pasti sebagai antara punca seorang lelaki warga Myanmar mati dibunuh di sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Ampat di sini kira-kira pukul 3.20 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintenden Mohd. Norazmi Abd. Ghapar berkata, bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Beliau berkata, ketika ini, polis telah berjaya menjumpai dan merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata berbahaya,” katanya di sini, hari ini.
Dalam kejadian semalam, lelaki etnik Rohingya berusia 31 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas dipercayai diserang dan ditikam pada beberapa bahagian badan.
Insiden tikaman itu turut menyebabkan seorang wanita berusia 26 tahun yang juga warga Myanmar cedera dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Mohd. Norazmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, ASP Mohd. Rizal Abd. Rashid di talian 019-8282212 atau datang ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis memandang serius kejadian ini dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh. Tindakan undang-undang yang sewajarnya juga akan diambil terhadap pihak yang terlibat,” katanya.-UTUSAN










