Sunway Healthcare raih untung RM95.17 juta pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Sunway Healthcare raih untung RM95.17 juta pada suku ketiga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sunway Healthcare Holdings Bhd. (Sunmed) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 59.5 peratus kepada RM95.17 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, berbanding RM59.69 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi kukuh itu didorong pertumbuhan hasil operasi susulan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan di seluruh negara, selain pendapatan operasi yang meningkat serta kos kewangan bersih lebih rendah.

Hasil bagi suku berkenaan naik 24 peratus kepada RM737.44 juta berbanding RM593.13 juta sebelum ini, disokong permintaan pesakit yang berterusan dan penggunaan hospital lebih tinggi serta sumbangan meningkat daripada Pusat Perubatan Sunway (SMC) Ipoh, Damansara, Velocity dan Pulau Pinang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presidennya, Datuk Lau Beng Long berkata, Sunway Healthcare akan terus melesenkan dan mengoperasikan baki kapasiti secara berperingkat, khususnya di Menara F SMC Bandar Sunway, SMC Damansara dan SMC Ipoh.

“Pada masa sama, program pembangunan brownfield di SMC Damansara dan SMC Pulau Pinang serta inisiatif greenfield dan Pusat Penjagaan Ambulatori yang sedang berjalan dijangka menyediakan kapasiti tambahan bagi menyokong pertumbuhan jangka sederhana dan panjang kumpulan,” katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia. 

Kadar penghunian katil bertambah baik kepada 77 peratus berbanding sekitar 71 peratus pada suku ketiga 2025, mencerminkan penggunaan kapasiti operasi kumpulan yang lebih kukuh.

Kemasukan pesakit dalam meningkat 21 peratus tahun ke tahun kepada 36,541 orang, manakala purata hasil bagi setiap kemasukan pesakit dalam naik lima peratus kepada RM12,339 sepanjang suku tersebut.

Bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026, keuntungan bersih Sunway Healthcare meningkat 48 peratus kepada RM206.66 juta berbanding RM139.83 juta pada tempoh sama tahun lalu, sementara hasil naik 26 peratus kepada RM2.00 bilion daripada RM1.59 bilion.

Setakat 30 September lalu, kumpulan mempunyai 1,994 katil berlesen dan 277 katil siap dibina yang sedia untuk dilesenkan, menjadikan jumlah kapasiti keseluruhan sebanyak 2,271 katil.

Mengulas mengenai MediAsas serta pelaksanaan berperingkat rangka kerja diagnosis-related group (DRG), Beng Long berkata, kumpulan akan terus berunding secara konstruktif dengan syarikat insurans, pengendali takaful dan pihak berkepentingan berkaitan.

“Kumpulan menjangkakan margin dapat dilindungi melalui penetapan harga berdisiplin dan tadbir urus diskaun, inisiatif perolehan, pengurusan kos klinikal serta peningkatan berterusan produktiviti operasi,” katanya.

Tambahnya, pelancongan perubatan turut kekal sebagai peluang pertumbuhan penting disokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.

“Kumpulan akan terus meluaskan pasaran sumber pesakit antarabangsa, memperkukuh kerjasama rujukan dan insurans serta meningkatkan tawaran pakar bernilai lebih tinggi sambil kekal berwaspada terhadap perkembangan geopolitik dan ketidaktentuan perjalanan serantau.

“Dengan rangkaian hospital yang mantap, keupayaan pakar yang berkembang dan kapasiti semakin bertambah, kumpulan kekal fokus menukarkan pertumbuhan jumlah pesakit serta pengaktifan kapasiti berperingkat kepada pendapatan mampan di samping mengekalkan kecemerlangan klinikal, daya tahan operasi dan disiplin kewangan,” ujarnya.

Tiada dividen diisytiharkan bagi suku tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini