IPOH: Penduduk Kampung Tonggang, Tanjung Rambutan sanggup menunggu lebih dua jam untuk melihat operasi mengeluarkan seekor gajah jantan liar yang dikatakan masuk ke kampung tersebut sejak beberapa hari lalu.
Operasi oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia itu bermula seawal 8 pagi dengan bantuan dua ekor gajah betina terlatih atau gajah pemikat, Abot dan Sanum dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang.
Khidmat dua ekor gajah pemikat itu digunakan bagi memujuk gajah jantan liar tersebut keluar dari tempatnya sebelum dibawa naik ke atas trak dan seterusnya dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.
Difahamkan, gajah jantan liar itu diberikan nama Yop Tonggang, sempena nama kampung tersebut yang berada kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Ipoh.
Seorang penduduk tempatan, Salina Pandak, 33, berkata, dia bersama sepupunya menunggu dari pukul 9 pagi untuk melihat operasi tersebut yang selesai pada pukul 12.30 tengah hari.
“Berita kehadiran gajah sering kali kami dengar. Namun ini kali pertama kami dapat lihat secara dekat. Agak teruja melihat gelagat haiwan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Nurisya Uda, 44, dia bersama rakannya sanggup hadir untuk melihat operasi sedemikian secara dekat setelah mengetahui perkara tersebut menerusi siaran langsung di TikTok.
Sementara itu menurut Pengarah Perhilitan Perak, Dr. Pazil Abdul Patah, laporan tentang kehadiran gajah liar itu mula direkodkan sejak April 2026 berhubung kacau ganggu yang merosakkan tanaman petani dan pekebun berkelompok.
Katanya, gajah bernama Yop Tonggang itu dianggarkan berusia kira-kira 10 tahun dan dipercayai datang dari Hutan Simpan Piah.
Bagaimanapun ada penduduk yang masih melahirkan rasa risau kerana percaya gajah yang sering masuk ke kawasan mereka terdiri daripada beberapa ekor. – UTUSAN











