SINGAPURA: Digital Realty, penyedia platform pusat data neutral awan dan telekomunikasi terbesar dunia, membuka Makmal Inovasi Digital Realty (DRIL) di Singapura bagi membantu syarikat perusahaan menguji dan mengoptimumkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) sebelum pelaksanaan secara berskala besar.
Kemudahan yang beroperasi di pusat data SIN11 milik syarikat itu menyediakan persekitaran kolokasi sebenar untuk menguji penyelesaian infrastruktur AI bersepadu daripada pelbagai penyedia teknologi.
Inisiatif berkenaan turut menyasarkan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur sedia AI di Singapura dan pasaran utama Asia Pasifik, selain membantu syarikat menilai prestasi serta keserasian teknologi sebelum membuat pelaburan berskala besar.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Asia Pasifik Digital Realty, Serene Nah berkata, keupayaan Asia Pasifik merealisasikan aspirasi AI bergantung pada sejauh mana perusahaan dapat menyediakan infrastruktur yang sesuai dengan keperluan dan keadaan berbeza di rantau ini.
Katanya, kedudukan Singapura yang mempunyai hubungan rangkaian serantau kukuh menjadikannya lokasi strategik bagi DRIL, membolehkan perusahaan dari seluruh Asia Pasifik menguji penyelesaian bersama rakan teknologi sebelum pelaksanaan sebenar.
“emudahan itu turut melengkapi rancangan Digital Realty membangunkan pusat data baharu di Pulau Jurong.
“Antara ciri utama DRIL termasuk rak berpenyejukan cecair yang menyokong ketumpatan kabinet 150 kilowatt (kW) dan ke atas, selain sistem penyejukan air dingin berkecekapan tinggi serta konfigurasi penyejukan cecair-ke-cecair dan cecair-ke-udara,” katanya.
Pembukaan DRIL Singapura itu melengkapkan rangkaian kemudahan seumpamanya yang telah beroperasi di Northern Virginia, Tokyo dan London, selain São Paulo yang diperkenalkan baru-baru ini.
Kemudahan berkenaan menggabungkan infrastruktur berketumpatan tinggi, sistem penyejukan canggih, sambungan rangkaian berdaya tahan serta teknologi daripada rakan penyelesaian merangkumi keseluruhan ekosistem infrastruktur digital.
Pendekatan itu membolehkan syarikat menguji pelbagai komponen dalam persekitaran pusat data sebenar, sekali gus mengurangkan risiko integrasi dan mempercepatkan proses penggunaan teknologi AI.
Menurutnya, kKemudahan itu turut dilengkapi reka bentuk bekalan kuasa berlebihan, sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), laluan gentian optik berasingan serta akses neutral kepada pelbagai penyedia rangkaian dan perkhidmatan awan.
“Sistem pemantauan bangunan dan penggunaan kuasa elektrik bersepadu serta kawalan keselamatan fizikal, rangkaian dan operasi berlapis turut disediakan bagi memastikan kebolehlihatan dan kawalan menyeluruh terhadap operasi makmal,” katanya.
Pada Ogos lalu, syarikat itu dipilih di bawah pusingan kedua permohonan pembangunan pusat data Singapura (DC-CFA2), dengan peruntukan sementara kapasiti 50 megawatt (MW) bagi membangunkan pusat data sedia AI di taman pusat data rendah karbon JTC di Pulau Jurong.
Digital Realty turut melabur dalam pembangunan bakat menerusi program Diploma Kerja-Belajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) serta penganjuran Digital AI Open House untuk pelajar Kolej Tembusu Universiti Nasional Singapura (NUS) dan program Sarjana Sains Teknologi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (MSc SHE).
Syarikat itu juga merancang memperluaskan rangkaian DRIL global dengan kemudahan baharu di Johannesburg, Afrika Selatan, yang dijadualkan dibangunkan pada 2027. – UTUSAN











