PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperkukuh asas latihan penyelidik menerusi pengemaskinian Teras Kerangka Pendidikan Tinggi selain penambahbaikan garis panduan etika akademik bagi memastikan integriti penyelidikan terus dipelihara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, usaha itu penting bagi memastikan pelajar, ahli akademik dan pemimpin institusi mempunyai keupayaan menangani pelbagai dilema etika yang semakin kompleks.
Menurutnya, latihan dan pematuhan berteraskan Tatakelakuan Bertanggungjawab Malaysia Dalam Penyelidikan (MCRCR) akan menjadi penanda aras yang jelas bagi setiap penyelidik di negara ini.
“Visi semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya integriti perlu diterapkan dalam tadbir urus dan budaya harian setiap kampus. Sehubungan itu, kita sedang memperkukuh asas latihan penyelidik.
“Ini kerana integriti penyelidikan bukan sekadar nilai peribadi, sebaliknya tanggungjawab bersama yang perlu dipikul penyelidik, institusi, editor, penilai, penyumbang dana serta pembaca,” katanya.
Teks ucapan Zambry dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Aminuddin Hassim pada Majlis Perasmian Sidang Selari ‘Leading Research Integrity in the Age of AI: An Academic Leaders’ Roundtable’ sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, perkembangan teknologi yang pesat turut menguji integriti akademik dan tingkah laku beretika dalam institusi pengajian tinggi dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Jelasnya, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan bukan sahaja berpotensi meningkatkan kecekapan dan kebolehulangan hasil kajian, malah boleh mengakibatkan salah laku, memesongkan bukti serta menjejaskan kepercayaan sekiranya tidak dikawal dengan sewajarnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan pendekatan yang meletakkan manusia sebagai pengawal utama dalam penggunaan AI, termasuk aspek ketelusan, pendedahan penggunaan teknologi, latihan, pengesahan maklumat dan pemantauan institusi.
“Universiti juga perlu beralih daripada tindakan bersifat ad hoc kepada sistem tadbir urus AI yang lebih tersusun bagi memastikan penggunaannya telus, boleh disemak dan mematuhi batas etika sepanjang proses penyelidikan,” ujarnya. – UTUSAN











