ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan yang kini dipenjarakan, Imran Khan merayu agar diberikan rawatan perubatan segera selepas mendakwa tahap kesihatan dirinya serta isterinya semakin merosot teruk di dalam tahanan.
Menerusi sepucuk surat yang didedahkan oleh peguamnya, Salman Safdar, bekas bintang kriket yang beralih arah ke dunia politik itu menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan fizikalnya pada usia 74 tahun yang disifatkan boleh mengancam nyawa.
Pihak berkuasa di Islamabad bagaimanapun tetap mempertahankan bahawa Imran diperiksa oleh pasukan perubatan setiap minggu dan tahap kesihatannya dinilai berada dalam keadaan memuaskan.
Beliau yang berdepan lebih 100 pertuduhan telah meringkuk di dalam penjara sejak Ogos 2023 sebelum isterinya, Bushra Bibi turut dipenjarakan bersamanya tahun lalu atas pelbagai kes termasuk rasuah dan penjualan hadiah negara yang didakwa bermotifkan politik.
Kebimbangan mengenai keadaan kesihatan Imran semakin memuncak sejak setahun lalu apabila ahli keluarganya mendakwa beliau kehilangan sebahagian besar penglihatan pada mata kanannya akibat kegagalan pihak penjara mengambil tindakan pantas.
Dalam surat tersebut, Khan mendakwa doktor memaklumkan bahawa beliau berisiko tinggi mengalami pendarahan otak dan serangan jantung, malah jantungnya didakwa sudah pun mengalami kerosakan.
Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap nasib Bushra Bibi yang didakwa mengalami masalah lekangan retina pada April lalu dan terpaksa menjalani pembedahan secara rahsia, selain berisiko hilang penglihatan sekiranya tidak mendapat pembedahan susulan.
Imran mendakwa dirinya ditempatkan dalam kurungan bersendirian sehingga 22 jam sehari tanpa dibenarkan menerima lawatan keluarga mahupun akses kepada buku dan televisyen, yang menurutnya memberikan tekanan hebat kepada kesihatan mentalnya.
Selain mendakwa hanya dibenarkan bertemu barisan peguamnya sebanyak empat kali sepanjang tahun lalu, beliau menegaskan hanya mampu membuktikan dirinya tidak bersalah sekiranya terus diberikan peluang untuk hidup.
Namun, Menteri Hal Ehwal Parlimen Pakistan, Tariq Fazal Chaudhry menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan Imran disediakan segala kemudahan di penjara termasuk makanan pilihannya sendiri, sekali gus menyifatkannya sebagai banduan paling terjaga di negara itu.
Pihak berkuasa penjara turut memaklumkan Imran telah dibawa ke sebuah hospital kerajaan seminggu lalu bagi menerima suntikan rawatan mata dan disahkan berada dalam keadaan stabil secara klinikal oleh pakar perubatan. -AGENSI








