Citaglobal, TNB GENCO dan TIZA AI meterai MoU

Citaglobal, TNB GENCO dan TIZA AI meterai MoU teroka penyelesaian bekalan elektrik bagi Kampus Pusat Data AI Gebeng

(Berdiri dari kiri): Shamsul Ahmad, dan Mohamad Norza Zakaria menyasikan Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd.. Datuk Shahrir Abdul Latiff ), Aimi Aizal Nasharuddin serta Ketua Pegawai Eksekutif TIZA Global Sdn. Bhd.. Datuk Fakhrunniam Bin Othman menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) membangunkan penyelesaian bekalan elektrik khusus di luar grid bagi cadangan Taman Pusat Data AI dan Infrastruktur Digital di Gebeng, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Citaglobal Berhad (Citaglobal), melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal New Energy Sdn. Bhd. (CGNE), telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB GENCO) dan TIZA AI Sdn. Bhd. (TIZA AI).

Melalui MoU ini, CGNE dan TNB GENCO akan bersama-sama membangunkan penyelesaian bekalan elektrik khusus di luar grid bagi cadangan Taman Pusat Data AI dan Infrastruktur Digital (Taman Pusat Data AI), yang akan dibangunkan oleh TIZA AI di atas tanah milik Citaglobal di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang.

TIZA AI merupakan pemegang kelulusan Data Centre Task Force (DCTF) bagi Taman Pusat Data AI tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kelulusan yang dimaklumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada 7 September 2026 itu mensyaratkan keperluan elektrik Taman Pusat Data AI sehingga 1,300 megawatt (“MW”) dipenuhi melalui bekalan luar grid.

Taman Pusat Data AI ini akan dibangunkan di atas tanah milik Kumpulan Citaglobal.

Tapak perindustrian seluas 247 ekar di Gebeng itu dimiliki oleh Citaglobal melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Property Development Sdn. Bhd., yang telah menyempurnakan pemerolehan tanah tersebut pada 30 Januari 2026.

TNB GENCO dan CGNE akan menjadi rakan usaha sama bagi penyelesaian bekalan elektrik tersebut.

TNB GENCO, cabang penjanaan tenaga Tenaga Nasional Berhad, akan menerajui pembangunan dengan menyumbangkan kepakarannya dalam pembangunan, pembinaan dan pengoperasian kemudahan penjanaan elektrik.

CGNE, selaku rakan usaha sama TNB GENCO, akan menyumbangkan kepakaran tenaga boleh baharu dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) di bawah jenama tempatannya, MYBESS, serta keupayaan pembangunan projek tempatan yang merangkumi urusan kelulusan kawal selia, libat urus dengan pihak berkuasa tempatan dan penyelarasan di tapak.

Mengikut struktur yang dirancang, TNB GENCO dan CGNE akan membangun, memiliki dan mengendalikan kemudahan penjanaan melalui sebuah syarikat usaha sama serta membekalkan elektrik kepada Taman Pusat Data AI.

Penyelesaian bekalan elektrik ini mungkin merangkumi penjanaan elektrik berasaskan gas, penjanaan solar fotovolta dan penyimpanan tenaga bateri, dengan kemudahan ditempatkan di dalam atau bersebelahan Taman Pusat Data AI.

Kajian kebolehlaksanaan akan menentukan gabungan teknologi, kapasiti penjanaan, aturan bekalan bahan api, sambungan infrastruktur dan fasa pelaksanaan, selaras dengan unjuran peningkatan beban elektrik Taman Pusat Data AI secara berperingkat.

TIZA AI, selaku penggerak pembangunan Taman Pusat Data AI, akan menyediakan profil beban elektrik, fasa pembangunan dan keperluan kebolehpercayaan bekalan, memudahkan akses ke tapak serta menyelaras dengan rakan pembangunan bersama, Kerajaan Negeri Pahang dan pihak berkuasa Persekutuan yang berkaitan.

TIZA AI, sama ada secara langsung atau melalui rakan pembangunan bersamanya, berpotensi menjadi pembeli elektrik yang dijana.

TIZA AI kini sedang berbincang dengan pelbagai bakal pengendali hyperscaler dan rakan pembangunan bersama yang telah menyatakan minat untuk membangunkan pusat data di dalam Taman Pusat Data AI tersebut.

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal dan TIZA AI Sdn.Bhd., Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, merekamerakamkan penghargaan kepada Data Centre Task Force, yang dipengerusikan bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Digital, atas kelulusan Taman Pusat Data AI Gebeng dengan permintaan elektrik maksimum sehingga 1,300 MW.

“Kelulusan ini mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap potensi Pahang sebagai pusat pertumbuhan baharu infrastruktur AI di Malaysia.

“Pahang mempunyai asas yang kukuh untuk menjadikan Gebeng sebuah taman pusat data AI utama negara: tanah yang luas, sumber air yang banyak serta kelebihan logistik strategik yang disokong oleh Pelabuhan Kuantan di Laut China Selatan, cadangan lapangan terbang antarabangsa baharu dan Laluan Rel Pantai Timur, yang dijadualkan mula beroperasi menjelang akhir Disember 2026.

“Kami melihat Pahang sebagai destinasi utama pusat data yang seterusnya di Malaysia.”

 “Bagi Pahang, Taman Pusat Data AI ini berpotensi menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran serta membuka peluang kepada kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan. Seiring dengan itu, kami berhasrat membangunkan bakat tempatan secara berterusan serta membina ekosistem AI dan digital di sekitar Gebeng supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh negeri dan rakyat Pahang,” katanya.

Selain kata Mohamad Norza, bekalan elektrik melengkapkan keperluan pembangunan ini. Kerjasama dengan TNB GENCO dan Citaglobal New Energy membawa pengalaman yang diperlukan untuk menyediakan bekalan elektrik khusus yang boleh dipercayai, seiring dengan pembangunan Taman Pusat Data AI secara berfasa.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif  TNB, Datuk Seri Ir. Shamsul Ahmad pula berkata, ketika Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab digital dan AI serantau, kesiapsiagaan bekalan tenaga perlu bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital negara.

Sebab itu katanya., tanggungjawab TNB melangkaui usaha memenuhi permintaan elektrik semasa. Kami turut menjangka keperluan masa hadapan dan menyediakan penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai, berdaya tahan serta boleh ditingkatkan mengikut keperluan bagi menyokong pertumbuhan industri baharu.”

 “Melalui TNB GENCO, kami memanfaatkan kepakaran luas dalam penjanaan elektrik untuk meneroka penyelesaian tenaga yang inovatif dan bersepadu, dengan mengimbangi kebolehpercayaan, kemampuan kos dan kemampanan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong keperluan industri berintensifkan tenaga yang terus berkembang, di samping menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga Malaysia yang lebih luas,” katanya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Citaglobal, Datuk Aimi Aizal Nasharuddin berkata, pemilikan tanah di Gebeng meletakkan Citaglobal pada kedudukan penting dalam pembangunan itu.

“Kami berhasrat memanfaatkan aset tanah strategik ini dan bekerjasama dengan TNB GENCO serta TIZA AI untuk membangunkan destinasi utama pusat data yang seterusnya di Malaysia.”

 “Selain pemilikan tanah, kerjasama ini memperluas perniagaan Tenaga Baharu kami kepada penyediaan bekalan elektrik khusus untuk pusat data.

“CGNE akan menyumbangkan keupayaan BESS di bawah jenama tempatan kami, MYBESS, bagi melengkapi kepakaran penjanaan TNB GENCO.

“Penyertaan CGNE dalam usaha sama ini membuka potensi pendapatan berulang jangka panjang kepada Kumpulan Citaglobal daripada bekalan elektrik ke Taman Pusat Data AI,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini