TAPAH: Seorang anggota polis maut sementara empat lagi dipercayai cedera selepas van polis dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 351.7 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan kemalangan tersebut.
“Mayat dan mangsa yang cedera dalam kemalangan itu dibawa ke Hospital Tapah untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Difahamkan, kemalangan itu dipercayai berlaku pada pukul 11.30 pagi tadi dengan maklumat awal menunjukkan seorang anggota maut, manakala sekurang-kurangnya empat anggota polis cedera.
Van itu membawa 10 anggota polis termasuk pemandu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan beberapa ibu pejabat polis daerah (IPD).
Video kemalangan itu turut tular dalam media sosial. – UTUSAN











