KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menyasarkan penurunan kadar kemiskinan mutlak di negeri ini antara tiga hingga lima peratus menjelang 2030, selain mengekalkan sasaran sifar miskin tegar secara mampan menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sasaran itu memerlukan pelan tindakan lebih komprehensif, bersepadu dan berorientasikan keberhasilan, bukan sekadar menambah bilangan program atau bantuan kepada rakyat.
Katanya, penetapan sasaran pengurangan bilangan Ketua Isi Rumah (KIR) miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun perlu menjadi antara keutamaan menerusi Pelan Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah 2027-2030.
“Berdasarkan laporan sistem eKasih setakat 15 Oktober 2026, Sabah masih merekodkan seramai 55,555 KIR dalam kategori miskin.
“Justeru, saya mahu angka itu dijadikan sebagai salah satu data asas bagi penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam pelan tersebut, dengan sasaran pengurangan bilangan KIR miskin yang jelas dan boleh diukur setiap tahun,” katanya pada perasmian Simposium Kesejahteraan Transformasi Rakyat (Kestra) 2026 di sini, hari ini.
Jelas Hajiji, setiap kementerian dan agensi berkaitan perlu menetapkan sasaran intervensi serta melaporkan keberhasilan sebenar dalam membantu isi rumah keluar daripada kemiskinan secara mampan.
Katanya, pembangunan Dasar atau Garis Panduan Exit Policy Kemiskinan Negeri Sabah yang jelas dan bersesuaian dengan keadaan sosioekonomi rakyat negeri ini juga perlu dilaksanakan.
“Kita tidak boleh hanya mengukur kejayaan berdasarkan jumlah penerima yang dikeluarkan daripada senarai kemiskinan, tetapi perlu memastikan mereka benar-benar mempunyai keupayaan untuk berdikari dan tidak kembali terjerumus ke dalam kitaran kemiskinan,” jelasnya. – UTUSAN











