Hubungan erat Pusat dan negeri asas kestabilan Sabah

Hubungan erat Pusat dan negeri asas kestabilan Sabah

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Hubungan erat antara Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah amat penting untuk memastikan aspek keselamatan dan pertahanan terus berkekalan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting untuk memastikan pertahanan Sabah yang sentiasa terdedah kepada anasir luar khususnya elemen keganasan.

Katanya, kestabilan politik Sabah perlu diberi keutamaan kerana ia menjadi asas kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Kita perlu pastikan ada kestabilan politik di Sabah. Jika politik tidak stabil, bagaimana untuk menjaga keselamatan? Jika tiada perpaduan antara kita, tentunya ada cabaran boleh berlaku di Sabah.

“Sabah sangat dekat dengan berhampiran lubuk pengganas dan terdedah kepada kemasukan warga asing secara haram. Sebab itu tidak mudah untuk menjaga Sabah.

“Bagaimana anggota tentera mahu menjalankan tugas mempertahankan negara jika dalam negeri sendiri wujud ancaman ketidakstabilan?” katanya dalam Program Semarak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Komuniti Pulau Banggi di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan Pusat memberi jaminan bahawa ATM akan menjaga keselamatan Sabah yang merupakan sebahagian daripada Malaysia manakala negara ini juga dimiliki rakyat negeri itu.

Katanya, semua rakyat termasuk Sabah berkongsi kesejahteraan khususnya apabila warga pertahanan dari seluruh negara hadir ditugaskan di negeri ini demi mempertahankan tanah air.

“Kita perlu pastikan sesiapa jadi menjadi kerajaan Sabah nanti, mempunyai hubungan baik dengan pusat. Kalau tiada hubungan baik dengan pusat, bagaimana untuk melaksanakannya,” katanya.
Menurut beliau, setiap anggota tentera memikul amanah yang sama tanpa mengira asal negeri ketika penugasan di seluruh negara termasuk di Sabah.
“Ketika mereka mengangkat sumpah, ikrar pertama adalah untuk menjaga keselamatan tanah air. Mereka tidak pernah mempersoalkan dari negeri mana mereka datang ketika diarahkan untuk mempertahankan negara,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, justeru itu jangan menimbulkan sentimen perbezaan negeri dan yakin hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan kerjasama keselamatan tetap utuh demi kedaulatan Sabah dan Malaysia secara keseluruhan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN