Pusat tidak pernah kawal Sabah

Pusat tidak pernah kawal Sabah

NIZAM ABU BAKAR TITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Kerajaan di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memegang kuasa penuh dalam menentukan hala tuju pentadbiran serta pembangunan negeri, bukannya dikawal oleh Pusat.

Calon GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan tersebut sebagai retorik politik pihak yang tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk bergerak secara bersendirian.

Katanya, terdapa parti yang kononnya bergerak solo sebenarnya pernah terlibat dalam pakatan tidak rasmi termasuk dikaitkan dengan Langkah Kinabalu, namun gagal memberikan jawapan konsisten apabila ditanya mengenai rancangan politik mereka.

“Ini semua cakap-cakap politik. Mereka kata bergerak sendiri tetapi hakikatnya ada pakatan. Yang penting, GRS tetap memegang kunci pentadbiran,” katanya ketika selepas program Ceramah Perdana di Markas PDM Tawau Lama di sini semalam.

Nizam menjelaskan bahawa GRS memilih untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan kerana kerjasama tersebut membuahkan hasil jelas kepada rakyat Sabah, bukan kerana Sabah berada di bawah kawalan pihak lain.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan tidak mencampuri urusan dalaman Sabah, malah hubungan harmoni antara kedua-dua pihak membolehkan Sabah menyelesaikan 13 perkara berkaitan MA63, meningkatkan hasil negeri hampir RM7 bilion, dan membina rizab kewangan mencecah RM8 bilion.

Beliau menjelaskan, kejayaan-kejayaan itu membuktikan Sabah mengurus pentadbirannya sendiri berdasarkan kepentingan rakyat dan bukannya mengikut arahan luar.

“Pemimpin yang memahami budaya dan keperluan rakyat Sabah kita alu-alukan. Tapi kalau kerja mereka hanya mahu memecahbelahkan rakyat dengan menimbulkan persepsi kononnya Sabah dikawal Putrajaya, itu kita tolak jauh-jauh,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN