KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM22.31 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi melaksanakan projek penjenamaan semula Pusat Peranginan Rantau Abang, Dungun yang pernah terkenal di peringkat antarabangsa sebagai lokasi pendaratan penyu belimbing.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, Rantau Abang berpotensi sebagai destinasi ekopelancongan yang berasaskan warisan dan rekreasi termasuk menjadi tempat pendaratan penyu bertelur.
Katanya, permohonan itu sudah pun dikemukakan melalui Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun masih belum mendapat kelulusan peruntukan untuk dilaksanakan.
“Antara perancangan yang dicadangkan termasuk menaik taraf kemudahan awam, kawasan rekreasi, landskap serta kemudahan pelancong bagi meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan.
“Inisiatif itu diharap dapat mengembalikan imej Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan berasaskan pemuliharaan penyu, pendidikan alam sekitar dan penglibatan komuniti,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Mohd. Fadhli Rahmi Zulkifli (Pas-Rantau Abang) mengenai strategi kerajaan negeri bagi mengembalikan kawasan itu sebagai pusat pemuliharaan dan pendidikan penyu bertaraf antarabangsa sebagai usaha menarik generasi muda serta pelancong.
Jelas Dr. Azman, projek yang mengambil tempoh pelaksanaan selama 36 bulan itu turut merangkumi pembangunan kawasan pesisir pantai dari Rantau Abang hingga Batu Pelanduk sebagai kawasan pelancongan bersepadu.
Antara komponen utama ialah pembinaan laluan pejalan kaki (boardwalk), wakaf dan menara tinjau di kawasan hutan pesisir dengan peruntukan RM6.2 juta.
Selain itu, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi cadangan menaik taraf Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang (TCIC), manakala RM4 juta bagi menaik taraf Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (TUMEC). – UTUSAN











