KUALA LUMPUR: Pandangan, saranan dan kritikan membina golongan akademik mengenai pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bakal dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk diteliti.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, input berkenaan penting untuk meneliti sama ada perkara yang direncanakan dalam rancangan itu benar-benar mencapai hasrat dan matlamatnya.
“Saya lihat input, saranan, pandangan, kritikan membina yang dapat diberikan oleh rakan-rakan akademia ini penting untuk dihadam, bukan hanya oleh Kementerian Ekonomi, tapi oleh setiap menteri dan kementerian.
“Wacana itu membuka ruang untuk meneliti pelaksanaan RMK13 setakat ini termasuk sama ada perkara yang direncanakan benar-benar mencapai hasrat dan matlamat.
“Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA) dan Universiti Malaya juga diminta menyediakan laporan hasil wacana untuk dipanjangkan kepada Jemaah Menteri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13): Hala Tuju dan Cabaran, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, pelaksanaan projek di bawah RMK-13 perlu mempunyai urus tadbir yang betul memandangkan setiap Rancangan Malaysia menggunakan wang rakyat.
“Pelaksanaan projek-projek bawah RMK ke-13 terutamanya perlu pastikan aspek urus tadbirnya betul, tidak berlaku apa-apa salah guna, dan juga aspek kleptokrasi ataupun rasuah dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN









