PARLIMEN: Pertimbang kaedah baharu penentu kumpulan B40, M40 dan T20

PARLIMEN: Pertimbang kaedah baharu penentu kumpulan B40, M40 dan T20

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbang kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih inklusif dan saksama dalam memacu agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah itu bertujuan melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar semata-mata yang tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah akibat perbezaan lokaliti, demografi, corak perbelanjaan dan kos sara hidup.

“Kerajaan sedang mempertimbang kaedah-kaedah penentuan kumpulan sasar yang lebih inklusif dan saksama yang menjadi sebahagian agenda RMK13.

“Langkah ini bagi melengkapkan pengelasan berasaskan pendapatan kasar semata-mata, yang tidak menggambarkan beban kewangan sebenar isi rumah akibat perbezaan lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta kos sara hidup,” katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta menteri menjelaskan tentang bila kelas sosioekonomi baharu bagi menggantikan pengelasan B40, M40 dan T20 akan dilaksanakan.

Buat masa ini, had kelayakan umum bagi bantuan sosial dan kemiskinan masih berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) peringkat nasional terkini iaitu RM2,705 yang ditetapkan pada 2024.

Sementara pengelasan pendapatan berasaskan kumpulan B40, M40 dan T20 terus dikekalkan sebagai rujukan bagi analisis statistik serta pelaksanaan bantuan sosial.

Mengulas lanjut, katanya lagi, antara kaedah yang sedang diteliti ialah penggunaan Pendapatan Boleh Guna Bersih (NDI).

“Pendekatan NDI melangkaui penilaian pendapatan kasar dengan mengambil kira pendapatan kasar isi rumah yang ditolak potongan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cukai pendapatan dan zakat.

Selain itu, kaedah ini turut merangkumi kos Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut lokaliti, demografi dan corak perbelanjaan isi rumah serta harga barangan dan perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN