PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan kadar penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) meningkat kepada 70 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat Disember 2025 kadar penyertaan lepasan SPM dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus, sekali gus menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai sasaran tersebut.
Menurut beliau, sasaran baharu itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bil.1/2026 yang dipengerusikannya hari ini.
“Beberapa inisiatif baharu turut dipersetujui termasuk program Digital Freelancing TVET bagi membuka peluang pendapatan melalui ekonomi digital global.
“Selain itu, program TVETPreneurs diperkenalkan bagi melahirkan usahawan muda TVET,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan memperkukuh latihan kemahiran melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bagi membantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara memasuki sektor pekerjaan baharu.
“Bidang TVET turut diperluaskan ke sektor strategik seperti agromakanan melalui pelaksanaan TVET Pertanian bagi meningkatkan tenaga kerja mahir dalam industri berkenaan.
“Program itu turut dibuka kepada pelajar tahfiz untuk memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan diploma. Langkah ini sekali gus memperluas peluang kerjaya dalam bidang kemahiran profesional,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Sambutan Hari TVET Negara 2026 akan diadakan pada 5 hingga 7 Jun depan di Dataran Putrajaya.
Katanya, program berkenaan akan menjadi platform menghimpunkan institusi TVET, pemain industri serta komuniti bagi memperluaskan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran. – UTUSAN










