DAP Sarawak diberi autonomi tentukan calon, kerusi ditandingi

DAP Sarawak diberi autonomi tentukan calon, kerusi ditandingi

ANTHONY Loke Siew Fook bersama perwakilan yang hadir pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Pimpinan pusat DAP menyerahkan autonomi kepada DAP Sarawak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu yang penamaan calonnya dijadualkan pada 28 November ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kepemimpinan pusat menyerahkan sepenuhnya kepada barisan pimpinan negeri itu bagi menentukan jumlah kerusi dan senarai calon yang akan bertanding.

Katanya, parti memberi kuasa kepada DAP Sarawak menentukan hala tuju dan strategi parti dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berkenaan jumlah kerusi yang ditandingi serta senarai calon yang akan dipilih, itu semua kita serahkan kepada DAP Sarawak untuk tentukan termasuk strategi yang akan digunakan.

“Kita akui semua PRN atau PRU (Pilihan Raya Umum) adalah sukar. Ia bukan pilihan raya mudah bagi DAP, termasuk di Sarawak nanti,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Johor, di sini, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN Sarawak ke-13 berlangsung pada 12 Disember ini manakala penamaan calon pada 28 November dan pengundian awal pada 8 Disember.

Pada PRN lalu, DAP hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Pending dan Padungan.

Jelas Anthony Loke, PH perlu menjangka kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut akan berlaku pada PRN Sarawak seperti mana di Negeri Sembilan dan Melaka sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta semua parti komponen PH supaya segera menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).

“Cabaran terbesar kita adalah untuk menyuntik semangat kepada penyokong sedia ada serta menarik minat pengundi atas pagar agar keluar mengundi dan terus memberikan sokongan kepada PH,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini