Berenang asah fokus Chen Jie bidik sasaran dalam menembak

Berenang asah fokus Chen Jie bidik sasaran dalam menembak

CHEN Jie ketika beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun, Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“BERENANG bantu saya kawal pernafasan dan tingkatkan kesedaran terhadap pergerakan tubuh, selain melatih saya untuk kekal tenang ketika membidik sasaran.”

“Saya masih menyukai renang artistik selepas sembilan tahun menceburi sukan itu dan sehingga kini, saya masih gemar berenang pada waktu lapang.”

Demikian kata atlet menembak negara, Gan Chen Jie, yang melihat aktiviti berenang bukan sekadar hobinya tetapi menjadi antara cara untuk mengasah fokus dan ketenangan ketika membidik sasaran ketika menembak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagi penembak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu, kemampuan mengawal pernafasan dan mengekalkan ketenangan merupakan antara komponen penting dalam sukan yang menuntut ketepatan yang tinggi ini.

“Saya berpendapat bahawa sukan menembak agak mencabar atas sebab ia memerlukan fokus dan kekuatan mental yang tinggi.

“Menembak bukan sekadar membidik sasaran dan melepaskan tembakan kerana terdapat banyak perkara kecil yang perlu dikawal dan kesilapan sekecil mana pun boleh menjejaskan prestasi,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

CHEN Jie mencipta sensasi di bumi Sarawak selepas meraih tujuh emas dalam sukan menembak pada SUKMA edisi 2024

Kecenderungan Chen Jie terhadap dunia sukan bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudah berputik sejak dahulu apabila sembilan tahun kehidupannya pernah didedikasikan kepada sukan renang artistik sebelum memilih arena menembak sebagai medan kerjayanya.

“Saya sebenarnya bermula sebagai atlet renang artistik kerana mengikuti jejak langkah kedua-dua kakak saya yang turut menceburi sukan itu.

“Saya pernah menyertai beberapa kejohanan antarabangsa sehingga berusia 15 tahun dan kedua-dua kakak saya, Gan Zhen Yu serta Gan Hua Wei, juga merupakan bekas atlet kebangsaan dalam sukan berkenaan,” katanya.

Ketika berusia 14 tahun pada 2018, Chen Jie menyertai pemilihan pasukan kebangsaan renang artistik, namun dalam tempoh menunggu keputusan, dia turut mencuba sukan lawan pedang sehingga beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018.

Bagaimanapun, hasratnya untuk meneruskan perjalanan dalam renang artistik tidak kesampaian apabila sukan itu tidak lagi berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) ketika itu.

“Pada 2019, seorang pegawai dari negeri saya mencadangkan kepada ibu supaya saya mencuba sukan menembak dan dari situlah saya mula menceburi sukan ini.

“Kemudian, pada 2020, saya terpilih untuk menyertai program MSN dalam sukan menembak,” katanya.

CHEN Jie memenangi pingat emas dalam acara individu 50 meter rifle tiga posisi wanita pada Sukan SEA ke-33 di Bangkok, Thailand, pada 17 Disember 2025.

Sejak itu, Chen Jie mula memberikan tumpuan kepada acara 50 meter raifal tiga posisi dan 10 meter air raifal, meskipun perlu bijak membahagikan masa antara komitmen sebagai atlet dengan tanggungjawab sebagai penuntut bidang Pengurusan Sumber Manusia di Universiti HELP.

Malah, dia pernah menangguhkan pengajian selama satu semester bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan dan persediaan menghadapi kejohanan.

Pengorbanan tersebut ternyata berbaloi apabila Chen Jie mencipta kejayaan luar biasa pada SUKMA XXI 2024 dengan menyapu bersih tujuh pingat emas dalam semua acara yang disertainya selain memecahkan dua rekod temasya ketika mewakili Negeri Sembilan.

Kecemerlangan itu diteruskan pada Sukan SEA 2025 apabila dia meraih pingat emas acara 50 meter raifal tiga posisi wanita menerusi catatan 451.7 mata, sekali gus mencipta rekod baharu temasya pada penampilan sulungnya.

Lebih membanggakan, pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Chen Jie menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam sukan menembak yang berjaya melangkah ke final sebelum menamatkan saingan di kedudukan kelapan.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi pada Sukan Asia kerana itu merupakan penampilan pertama saya dan saya berjaya melayakkan diri ke final seperti yang disasarkan.

“Bagaimanapun, saya masih perlu meningkatkan konsistensi, terutama ketika pusingan kelayakan, selain memperkuat mental dan belajar mengendalikan tekanan dengan lebih baik ketika bertanding,” katanya.

Kini, Chen Jie mengalihkan perhatiannya kepada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 di Kuala Lumpur pada Disember ini dengan sasaran melayakkan diri ke final.

Di sebalik pencapaian yang sudah diraih, atlet berusia 22 tahun itu tetap meletakkan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sebagai impian terbesar yang mahu direalisasikan menerusi kerja keras dan komitmen berterusan dalam sukan menembak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini