PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengetuai delegasi Malaysia untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila, Filipina, berlangsung esok sehingga Selasa ini.
Beliau dijangka diiringi isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Perdana Menteri dijangka akan memulakan jadualnya di Manila dengan menghadiri sesi pleno dan pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 selain sesi libat urus pemimpin ASEAN bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) dan belia ASEAN.
Keesokan harinya, beliau dijadual menghadiri sidang kemuncak ASEAN bersama dengan China, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Australia dan Korea Selatan sebelum berlepas pulang ke Malaysia pada sebelah petang.
Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony berkata, penyertaan Anwar pada peringkat tertinggi itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif dalam mencorak hala tuju ASEAN merangkumi aspek politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.
“Sidang Kemuncak ini menyediakan platform strategik untuk berinteraksi secara langsung dengan pemimpin Negara-Negara Anggota ASEAN dan Rakan-Rakan Dialog sekali gus memupuk dialog mengenai cabaran bersama yang mendesak di samping memperkukuh hubungan dua hala yang utama,” katanya hari ini.
Beliau berkata, sekembalinya Perdana Menteri ke Malaysia, beliau akan menyambut kedatangan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang melakukan lawatan rasmi ke negara pada Selasa.
“Perdana Menteri dijadual kembali semula ke Manila pada petang Selasa bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) serta majlis makan malam yang dihoskan oleh Presiden Republik Filipina,” katanya.
Sepanjang kepulangan Anwar ke Malaysia, Mohamad akan mengetuai delegasi negara ke beberapa mesyuarat dan sidang kemuncak termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-29, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) ke-4, Sidang Kemuncak ASEAN bersama dengan Jepun dan India serta Sidang Kemuncak Asia Timur ke-21.
Pada masa sama, sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN di Manila itu, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu semasa. – UTUSAN










