ARAU: Seramai 3,775 graduan Universiti Malaysia Perlis (Unimap) akan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-21 universiti itu yang bermula hari ini sehingga 17 November ini.
Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 1,114 graduan yang diraikan adalah penerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan, diikuti Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (609), Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (501), Diploma Kejuruteraan (419), Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu (211) dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi (89).
“Turut menerima ijazah ialah 90 graduan Sarjana, 77 Doktor Falsafah (PhD), 17 Sarjana Profesional, 554 Sarjana Muda Profesional dan 94 Diploma Profesional,” katanya dalam sidang akhbar di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam Unimap Pauh Putra, di sini, semalam.
Istiadat konvokesyen itu melibatkan tujuh sidang dengan Raja Muda Perlis merangkap Canselor Unimap, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail akan berangkat menyempurnakan sidang pertama, kedua, keempat dan keenam.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro-Canselor Unimap pula akan menyempurnakan istiadat konvokesyen bagi sidang pertama, ketiga dan kelima.
Anakanda baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail selaku Pro-Canselor Unimap pula akan menyempurnakan sidang ketujuh.
Dalam pada itu, Zaliman berkata, kadar kebolehpasaran graduan Unimap juga menunjukkan perkembangan positif di mana sehingga tempoh 6 November lalu, seramai 2,116 graduan meliputi 56.05 peratus dilaporkan telah bekerja dalam pelbagai sektor.
Kata beliau, daripada jumlah itu, bilangan tertinggi bekerja adalah direkodkan di syarikat tempatan iaitu 1,084 graduan meliputi 51.23 peratus, diikuti syarikat multinasional dengan 651 graduan atau 30.77 peratus.
“Kadar Kebolehpasaran Graduan merangkumi graduan yang bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN











