Iran dalangi perang hibrid di Eropah?

Iran dalangi perang hibrid di Eropah?

PELANGGAN berjalan melewati deretan peti sejuk makanan segar yang kosong di sebuah pasar raya di barat Perancis susulan serangan siber yang menjejaskan rangkaian pasar raya Intermarché dan Cooperative U.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Siri serangan siber yang menyasarkan pasar raya dan bank darah di Eropah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan infrastruktur penting, susulan Perancis menuduh Iran bertanggungjawab mendalangi insiden berkenaan.

Serangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai ancaman perang hibrid yang menggunakan ruang siber untuk mengganggu operasi negara, selain kaedah ketenteraan konvensional.

Menurut laporan Arab News, serangan berkenaan pada mulanya disyaki dilakukan penggodam yang tidak berpuas hati atau penjenayah siber yang mahu menuntut wang tebusan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, kerajaan Perancis pada Isnin menyifatkan serangan itu sebagai tindakan berskala besar dan agresif yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Serangan pertama dilaporkan berlaku pada pertengahan Oktober apabila suhu ratusan peti sejuk di pasar raya Perancis dinaikkan sehingga mencecah 50 darjah Celsius, menyebabkan bekalan makanan rosak.

Pada awal November, serangan sama dilaporkan menyasarkan rangkaian pasar raya di tujuh negara Eropah, termasuk Belgium, Ireland, Finland, Belanda dan Sweden.

Pada 1 dan 2 November lalu, sistem penyejukan di tiga bank darah serantau kendalian Badan Darah Perancis turut menjadi sasaran. Bekalan darah bagaimanapun berjaya diselamatkan selepas dipindahkan ke peti sejuk lain.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata siasatan pihaknya mengesahkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Beliau berkata, Perancis akan memanggil duta Iran bagi mendapatkan penjelasan serta mengambil langkah yang perlu dan seimbang. Teheran bagaimanapun menolak tuduhan itu sebagai tidak berasas dan bersifat permusuhan.

Pejabat pendakwa raya Paris berkata, penyiasat menemukan penggunaan bahasa Parsi serta alamat protokol internet (IP) yang dikesan berpunca daripada peranti di Iran.

Serangan itu juga mempunyai persamaan dengan operasi unit perang siber Iran, Shahid Kaveh, yang dinamakan sempena komander IRGC yang terbunuh dalam perang Iran-Iraq pada 1986.

Siasatan firma keselamatan siber DomainTools pada Julai 2025 turut mengenal pasti satu subunit kumpulan itu, Intelligence Group 13, sebagai kumpulan yang aktif menceroboh sistem infrastruktur kritikal.

Ancaman sedemikian memperlihatkan bagaimana serangan siber boleh digunakan untuk memberi tekanan kepada sesebuah negara tanpa perlu melancarkan serangan ketenteraan secara langsung.

Dalam konteks perang hibrid, gangguan terhadap kemudahan awam boleh menjadi sebahagian daripada strategi meluas untuk melemahkan keupayaan negara, menjejaskan keyakinan masyarakat dan mengganggu kehidupan harian.

Kebimbangan itu mendorong beberapa agensi Amerika Syarikat (AS), termasuk Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (CISA) serta Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), mengeluarkan amaran pada 5 November supaya pengendali infrastruktur kritikal memperkukuh keselamatan sistem penyejukan industri.

Amaran itu meliputi sektor kesihatan, pengeluaran bahan kimia, makanan, pertanian dan pengangkutan yang bergantung pada sistem penyejukan serta pemantauan suhu.

Penasihat kanan projek antikeganasan Majlis Atlantik, Danielle Cosgrove, memberi amaran serangan serentak terhadap hospital, kemudahan air, sistem pengangkutan dan pengagihan makanan boleh mengganggu perkhidmatan kecemasan serta rantaian bekalan.

Ancaman siber juga boleh melangkaui kemudahan awam apabila peranti rumah pintar seperti kamera keselamatan dan sistem kawalan lampu serta pemanas berisiko menjadi sasaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini