Perlu waspada lalui Jalan Betong-Yala

Perlu waspada lalui Jalan Betong-Yala

PASUKAN keselamatan Thailand perketatkan pemeriksaan di Jalan Betong-Yala susulan gerakan memburu kumpulan pemisah yang melarikan diri di kawasan Gunung Saji di Daerah Thanto, Yala, Thailand, kelmarin. – IHSAN ISOC 4
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YALA (THAILAND): Pelancong Malaysia perlu berwaspada ketika melalui Jalan Betong-Yala ketika pasukan keselamatan Thailand memperluaskan kepungan untuk menggeledah kawasan hutan di kaki Gunung Saji di Daerah Thanto di sini dalam usaha memburu anggota kumpulan pemisah yang melarikan diri selepas pertempuran sengit, kelmarin.

Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, kawasan kepungan meliputi jalan utama dari Betong ke Yala yang terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak kumpulan terbabit melarikan diri ke negara jiran.

Sehubungan itu, pelancong Malaysia yang melalui jalan itu sama ada dari Betong ke Yala atau sebaliknya dinasihatkan berhati-hati dan mematuhi undang-undang terutama jika terserempak dengan sekumpulan anggota tentera atau sekatan jalan raya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pemeriksaan terhadap semua kenderaan yang melalui kawasan berkenaan diperketatkan dalam usaha pasukan keselamatan memburu anggota kumpulan pemisah yang melarikan diri dari pos mereka di kaki Gunung Saji.

Beliau berkata, operasi itu adalah dalam bidang kuasa dan tanggungjawab undang-undang agensi keselamatan dan untuk melindungi nyawa dan harta benda awam.

“Dalam pertempuran di Mukim Mae Wad, Thanto kira-kira pukul 5.30 pagi kelmarin (Isnin) seorang anggota kumpulan pemisah yang sangat dikehendaki terbunuh manakala beberapa rakannya melarikan diri ke kawasan hutan tebal di pergunungan itu.

“Susulan itu pasukan keselamatan dikerah melancarkan gerakan besar-besaran untuk memburu mereka kerana jarak dari lokasi pertempuran dengan sempadan Malaysia hanya kira-kira 480 meter,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pihak berkuasa mengenal pasti suspek yang terbunuh itu sebagai Saudi Tingueng berusia 48 tahun iaitu anggota pemisah peringkat operasi dan mempunyai tiga waran tangkap tertunggak mengikut Kanun Prosedur Jenayah.

Suspek juga dikehendaki kerana disyaki terlibat bersama beberapa anggota pemisah lain dalam kejadian memenggal kepala seorang penduduk Wilayah Chiang Mai di Wilayah Yala pada 2015 lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini